KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) tidak menemui sebarang pelanggaran undang-undang persaingan dalam industri padi dan beras berdasarkan kajian yang dijalankan pada tahun lalu.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, hasil kajian tersebut telah dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Keterjaminan Makanan Negara pada 17 Disember 2024, dan mendapati dakwaan mengenai penguasaan pasaran oleh segelintir syarikat besar yang membentuk struktur seperti kartel adalah tidak berasas.
“MyCC melaksanakan siasatan menyeluruh ke atas industri ini dan tiada bukti ditemui yang menunjukkan wujudnya amalan antipersaingan atau salah laku pasaran. Semua tuduhan berkaitan kartel mestilah bersandarkan kepada bukti dan bukan persepsi semata-mata,” katanya ketika sesi jawab lisan di Dewan Negara hari ini.
Menurutnya, MyCC merupakan sebuah badan penguat kuasa bebas di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang ditubuhkan khusus bagi memastikan pasaran negara kekal terbuka, adil dan kompetitif.
Katanya, MyCC mempunyai kuasa di bawah Akta Persaingan 2010 untuk menyiasat sebarang bentuk perjanjian antipersaingan termasuk penetapan harga, pembahagian pasaran serta pakatan kartel yang boleh menjejaskan pengguna dan kestabilan ekonomi.
“Sejak penubuhannya, MyCC telah mengambil tindakan terhadap pelbagai kes kartel dan amalan monopoli yang merugikan pengguna.
“Oleh itu, sebarang kajian atau siasatan yang dilakukan adalah berpaksikan kepada standard siasatan yang telus serta bebas daripada sebarang pengaruh luar,” jelasnya.
Arthur berkata, pendekatan MyCC bukan sahaja berbentuk penguatkuasaan, tetapi juga pencegahan melalui kajian sektor, advokasi serta libat urus dengan pemain industri bagi memastikan mereka memahami garis panduan persaingan yang ditetapkan undang-undang.
Menurutnya, peranan MyCC sangat penting dalam melindungi kepentingan rakyat kerana kewujudan kartel atau penguasaan pasaran secara tidak adil boleh memberi kesan besar kepada harga, bekalan dan kualiti barangan asas termasuk beras.
Dalam pada itu, katanya, kerajaan turut melaksanakan reformasi menyeluruh dalam industri padi dan beras secara berfasa sejak Oktober 2024 dengan tujuan meningkatkan daya saing industri, memperkukuh kebajikan pesawah serta menjamin keterjaminan bekalan beras negara.
Menurutnya, antara agenda utama reformasi adalah menilai semula kerangka perundangan sedia ada agar ia kekal relevan dan berkesan dalam mengawal selia industri, termasuk menangani isu-isu berbangkit seperti dakwaan manipulasi bekalan melalui aktiviti percampuran beras.
Katanya, dapatan serta syor daripada MyCC turut diambil kira dalam pelaksanaan reformasi ini bagi memastikan persekitaran industri yang lebih adil, telus dan mampan di sepanjang rantaian nilai.
“Kerajaan berharap segala usaha yang sedang dilaksanakan akan mendapat sokongan padu daripada semua pihak bagi menjamin masa depan industri beras negara serta melindungi kepentingan pengguna daripada sebarang bentuk manipulasi pasaran,” katanya. – UTUSAN










