HOKKAIDO: Seorang warga emas di Hokkaido, Jepun menjadi mangsa penipuan cinta dalam talian selepas ditipu hampir satu juta yen (RM28,520) oleh seorang lelaki yang menyamar sebagai angkasawan.
Mangsa yang tinggal seorang diri itu berkenalan dengan penipu berkenaan melalui media sosial pada Julai lalu.
Pada mulanya, perbualan mereka berjalan mesra, namun keadaan berubah apabila lelaki tersebut mendakwa dirinya berada di angkasa dalam sebuah kapal angkasa yang sedang diserang dan memerlukan wang untuk ‘membeli oksigen’.
Tertipu dengan helah itu, wanita berkenaan akhirnya memindahkan sejumlah besar wang melalui transaksi dalam talian kononnya bagi menyelamatkan nyawa ‘angkasawan’ itu.
Polis Jepun menyifatkan kes ini sebagai contoh klasik penipuan cinta yang semakin menjadi-jadi di negara tersebut.
“Jika ada individu yang anda kenali melalui media sosial meminta wang, sila berwaspada dengan kemungkinan ia satu penipuan dan segera laporkan kepada polis,” tegas seorang pegawai dalam kenyataan rasmi.
Data rasmi menunjukkan dalam 11 bulan pertama 2024 sahaja, sebanyak 3,326 kes penipuan cinta direkodkan di Jepun iaitu hampir dua kali ganda berbanding tahun sebelumnya. Jumlah kerugian juga meningkat dua kali ganda kepada 34 bilion yen (RM969.4 juta).
Pihak berkuasa kini menggunakan langkah drastik termasuk sistem kecerdasan buatan (AI) untuk mengesan warga emas yang cuba mengeluarkan wang di mesin ATM yang juga satu petunjuk mereka mungkin ditipu.
Menurut seorang peguam di Osaka, penipu semakin kerap menyasarkan warga emas yang hidup bersendirian.
Pakar turut memberi amaran bahawa golongan ini mudah menjadi mangsa kerana kurang mahir teknologi, mempunyai kewangan stabil hasil pencen, selain faktor kesihatan usia lanjut seperti nyanyuk yang menjejaskan pertimbangan. -AGENSI










