Kelantan tidak ambil mudah cabaran Perlis

Kelantan tidak ambil mudah cabaran Perlis

Khairul Abdillah Ramli
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kelantan tidak memandang rendah kemampuan Perlis pada aksi pembukaan Kejohanan Ragbi Piala Agong 2025 Sabtu ini.

Ketua pasukan, Khairul Abdillah Ramli berkata, meskipun Perlis dianggap lawan mudah oleh sesetengah pihak, pengalaman musim lalu membuktikan pertemuan kedua-dua pasukan berlangsung sengit dengan keputusan yang hanya dipisahkan jurang tipis.

“Kita tidak boleh ambil mudah Perlis. Tahun lepas kita menang dengan beza kecil sahaja. Insya-Allah dengan kehadiran semula bekas pemain Kelantan dalam skuad tahun ini, kita akan cuba beri yang terbaik,” katanya.

Khairul berkata, Kelantan kali ini turut diperkuat beberapa pemain kebangsaan kategori Seven yang diyakini mampu memberi impak besar, termasuk dirinya sendiri.

Beliau bagaimanapun mengakui cabaran sebenar bakal hadir apabila mereka diundi se­kumpulan dengan dua gergasi ragbi negara, PDRM dan Selangor.

“Tekanan tetap ada, tapi ia akan buat kita lebih berdisiplin di padang. Pemain kita pun ramai berpengalaman, termasuk yang pernah beraksi dengan PDRM tahun lalu. Kehadiran mereka boleh bantu pasukan Kelantan musim ini,” jelasnya.

Khairul yang juga tonggak berpengalaman turut menasihatkan rakan sepasukan, khususnya muka baharu agar mengekalkan disiplin serta fokus kepada setiap perlawanan.

“Nasihat saya mudah, ikut sahaja game by game. Kita turun ke padang bukan untuk diri sendiri, tapi untuk maruah pasukan Kelantan,” katanya.

Skuad Kelantan yang baru melengkapkan latihan penuh minggu lalu, dijangka tampil dengan semangat baharu berbekalkan gabungan tenaga muda dan senior untuk memburu slot ke peringkat suku akhir dalam Piala Agong edisi kali ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×