Percayakan Mak Teh, sanggup tolak vaksin - Utusan Malaysia

Percayakan Mak Teh, sanggup tolak vaksin

SALAH seorang warga emas yang menerima suntikan vaksin Covid-19 di PPV Seremban baru-baru ini . – UTUSAN/IZZAT TERMIZIE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Gara-gara terpengaruh de­ngan Mak Teh, ramai warga emas enggan mengambil vaksin Covid-19 kerana bimbang akan mengalami nasib seperti jurura­wat dan petugas kesihatan yang didakwa meninggal dunia sele­pas menerima suntikan dos ke­dua seperti disebar wanita terbabit.

Audio yang tersebar itu dipercayai mempunyai kaitan dengan golongan antivaksin yang cuba mempengaruhi orang ramai agar menolak program imunisasi kebangsaan anjuran kerajaan.

Mendedahkan perkara itu, se­orang warga emas berusia 60 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Man memberitahu Utusan Malaysia, pada mulanya dia juga antara orang yang terpengaruh dengan dakwaan kematian akibat vaksin selepas mendengar audio tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Namun katanya, selepas mendengar penjelasan pelbagai pihak berwajib mengenai perkara tersebut membuatkan dia sedar dakwaan bahawa vaksin itu bahaya adalah berita palsu.

Katanya, selepas melihat kes Covid-19 semakin meningkat sejak akhir-akhir ini menyebabkan dia mengambil keputusan untuk mendaftar dan menerima suntikan vaksin.

“Audio mengenai kematian akibat vaksin sering kali tersebar di WhatsApp dan media sosial sehingga menyebabkan ramai orang khususnya warga emas percaya. Disebabkan itu, ada yang tidak berani menerima vaksin.

“Cuba bayangkan bagi mereka yang tidak mendapat maklumat sebenar dengan mudahnya terpengaruh dengan audio-audio palsu kematian disebabkan vaksin itu.

“Selepas bertanya panda­ngan kawan-kawan lain yang sudah menerima vaksin, saya telah menyuruh anak saya mendaftarkan nama. Adalah lebih baik terima suntikan vaksin sekurang-kurangnya risiko kita terkena jangkitan Covid-19 berkurangan,” katanya di sini, semalam.

Rakaman suara daripada individu yang menggelar dirinya sebagai Mak Teh turut mendapat perhatian daripada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menyifatkan dakwaan wanita yang dipercayai dari Kedah itu, sebagai dakyah yang tidak ada asas.

Dr. Mahathir berkata, beliau sendiri dan isteri telah mengambil vaksin Covid-19 dan setakat ini berasa baik, malah beliau juga mencabar Mak Teh supaya minum air kelapa seperti didakwa dan mencium pesakit Covid-19 untuk membuktikan dakwaan yang dibuat wanita itu betul.

Sementara itu, Man berkata, kerajaan perlu memantau penularan maklumat palsu yang boleh menyebabkan ramai orang terpengaruh sehingga sanggup tidak menerima suntikan vaksin.

“Sekali dengar audio-audio seperti itu sememangnya mudah membuatkan kita percaya dan berasa takut. Oleh itu, perkara tersebut mesti dikekang. Orang muda mungkin boleh menilai maklumat yang mana benar atau yang mana palsu, bagi warga emas kadang-kadang mudah percaya,” kata­nya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan negeri, Teh Chai Aan mengakui sememangnya ada dalam kalangan rakyat yang percaya dengan penyebaran maklumat palsu berkaitan vaksin Covid-19 itu.

Justeru beliau menyeru kepada seluruh rakyat agar tidak terpengaruh dan segera mendaftar untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 demi kepentingan diri dan ahli keluarga.

“Betul ramai yang percaya audio palsu ini sekali gus menyebabkan mereka risau untuk terima suntikan vaksin. Sebarang maklumat boleh rujuk Kementerian Kesihatan dan jangan terpengaruh dengan berita-be­rita palsu ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini