SEGAMAT: Salah seorang penghuni rumah pangsa di sini, hanya mampu melaungkan azan ketika gempa bumi menggegarkan kediamannya di Jalan Kolam Air, pagi semalam.
Tindakan Midah Mokhtar, 74, itu sebagai ikhtiar untuk meredakan ketakutan dialaminya akibat gempa bumi selepas kediamannya bergegar dalam kejadian kira-kira pukul 7.29 pagi semalam.
“Saya sempat melaungkan azan, berselawat dan membaca ayat suci ketika gegaran gempa bumi berlaku.
“Ketika kejadian, saya tengah duduk di atas kerusi di ruang tamu bersama anak perempuan saya dan kerusi yang saya duduki terasa bergoyang.
“Memang kami tidak jangka akan berlaku gempa di Segamat kerana seusia saya 74 tahun tidak pernah berlaku gempa bumi di Segamat,” katanya ketika ditemui di Rumah Pangsa Jalan Kolam Air, Segamat di sini, semalam.

Tambah Midah, rumahnya yang berkedudukan di tingkat dua rumah pangsa itu agak berisiko tinggi ketika gegaran berlaku.
Midah berkata, ia kejadian pertama seumur hidupnya yang dianggap menakutkan dan akan terpahat dalam memori sehingga akhir hayatnya.
“Walaupun rumah saya tiada kelengkapan yang rosak, saya juga amat bersyukur tiada ahli keluarga yang cedera.
“Sama-samalah kita bermunajat pada Allah agar kita semua terutama sekali warga Segamat sentiasa selamat dari bencana gempa ini,” kongsinya.
Sementara itu, Pengerusi Keluarga Penduduk Rumah Pangsa Kolam Air, Arbaee Ali, 53, mengesahkan kejadian gempa yang berlaku pagi semalam dan tiada kerosakan di sekitar rumah pangsa tersebut.
“Pihak kami mengambil inisiatif memantau rumah penduduk terutama sekali warga emas yang terkesan.
“Kami juga memaklumkan kepada penduduk untuk keluar dari kediaman secepat mungkin apabila berlaku gempa yang kuat selepas ini.
“Ini bagi memastikan mereka selamat jika berlaku gempa yang lebih kuat berlarutan dan kami juga bekerjasama kepada agensi keselamatan dari masa ke semasa,” katanya.
Terdahulu, gempa bumi lemah buat kali keenam menggemparkan warga Segamat kira-kira pukul 7.29 pagi semalam.
Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), gempa bumi berkenaan berkoordinat 2.5° Utara dan 102.8° Timur di Segamat bermagnitud 2.7 dengan jarak 2 kilometer di Barat Laut dari Segamat berkedalaman 10 kilometer. – UTUSAN










