Simpang empat di tengah-tengah Taman Tas itu sentiasa sibuk dengan kenderaan yang menderum-deram. Acapkali, suasana kesibukan itu berlaku antara 7 pagi hingga 8 pagi. Maklumlah pada waktu itu orang ramai berpusu-pusu ke tempat kerja dan ada juga yang menghantar anak-anak mereka ke sekolah.
Pelbagai ragam manusia dapat dilihat tatkala itu dan kerana kesibukan itu menyebabkan jalan agak macet dan kadang-kadang diselang seli dengan bunyi hon secara tiba-tiba.
Aku sebenarnya pengguna tegar simpang empat itu. Untuk ke pejabat yang terletak di tengah-tengah bandar, aku terpaksa melalui simpang empat dan juga deretan kenderaan yang bergilir-gilir menunggu lampu isyarat berkelip-kelip hijau sehinggalah kesemuanya dapat bergerak menuju ke destinasi masing-masing.
Namun, bukan macet atau kenderaan yang menjadi daya tarikan di situ. Setiap pagi tepat pukul 7 aku akan melihat seorang lelaki tua berdiri tegak betul-betul di simpang empat itu sambil tangan kanannya memegang Jalur Gemilang kecil dan topi keledar digantungkan di tangan kirinya.
Dia akan menahan penunggang motosikal yang tidak dikenalinya sambil tersenyum mesra. Itulah rutin harian lelaki tua itu dan aku juga tidak pasti mengapa dia berbuat sedemikian.
“Encik, boleh saya tumpang motosikal encik hingga ke bandar?” Tanya lelaki tua itu sambil tersenyum mesra. Di tangan kanannya mengibar-ngibarkan Jalur Gemilang tanpa henti.
Aku hanya tersengih. Pagi itu barangkali giliran aku pula yang ditanyanya. Segala persoalan di benak fikiranku tiba-tiba sahaja terjawab dengan sendirinya dan kemudiannya aku mengangguk-anggukkan kepala seperti membenarkan lelaki tua itu membonceng motosikalku tatkala itu.
Lelaki tua itu kemudiannya melabuhkan punggungnya di tempat duduk belakang dan sekali gus memakai topi keledar dengan cermat. Ketika lampu isyarat menunjukkan warna hijau, motosikal kami mula bergerak menuju ke arah pusat bandar.
Bunyi bising dari ekzos motosikal kadang-kala membingitkan pendengaran dan ada juga asap yang keluar berkepul-kepul dari ekzos motosikal yang tidak diservis dengan baik membuatkan wajah kami sedikit jelaga kesan daripada karbon tercemar itu.
“Encik, berhenti di sini!” Pinta lelaki tua itu sambil menepuk bahuku berulang kali.
Aku segera memperlahankan motosikalku lalu menyusur di tepi jalan berumput. Di situ, lelaki tua itu turun dan menanggalkan topi keledar yang dipakainya. Ketika aku ingin meneruskan perjalanan, tiba-tiba lelaki tua itu menghulurkan Jalur Gemilang kecil kepadaku. Aku tersentak.
“Ini untuk encik sebagai tanda terima kasih kerana menumpangkan saya. Maaf, saya tidak ada duit untuk diberi kepada encik tetapi juga tidak kosong. Jalur Gemilang inilah sebagai bayaran upahnya,” kata lelaki tua itu sambil meletakkan Jalur Gemilang itu di tepi cermin sisi motosikalku.
“Tak apa pakcik. Saya ikhlas.” Jawabku jujur.
Lelaki tua itu hanya tersengih. Dia kemudiannya terus berlalu pergi meninggalkan aku yang masih terpinga-pinga dengan kelakuannya tadi. Namun, kerana aku mengejar masa untuk mengetip kad perakam waktu, maka aku meneruskan perjalananku hinggalah ke pejabat.
Sampai di kawasan pejabat, aku memakir motosikalku di tempat khas untuk motosikal. Kebetulan, seorang rakan sepejabatku turut memakir motosikalnya di sebelahku. Mataku terus tertancap pada dua helai Jalur Gemilang yang menghiasi cermin sisi pada motosikalnya sama seperti Jalur Gemilang di motosikalku.
“Dari mana kau dapat Jalur Gemilang itu?” Soalku sambil membuka topi keledar.
“Yang ini ke?” Tanya rakanku itu sambil menunjukkan kedua-dua Jalur Gemilang itu. Aku hanya mengangguk-anggukkan kepala berulang kali.
“Oh, ini daripada seorang lelaki tua yang membonceng aku minggu lepas. Jalur Gemilang yang satu lagi ini dua hari lepas.” Jawab rakanku itu sambil membetulkan rambutnya.
“Maknanya, sudah dua kalilah pakcik itu memberikan kau Jalur Gemilang sebagai habuan upah tumpang kau?” Soalku ingin tahu lebih lanjut.
“Betul. Lelaki tua itu tinggal berdekatan dengan Taman Tas. Orang taman panggilnya Pakcik Jali. Umur dalam lingkungan 65 tahun.” Terang rakanku itu sambil menggalas beg kulitnya.
Aku hanya tergumam tatkala mendengar cerita daripada rakanku itu. Sebenarnya tidak ada apa-apa yang istimewa dengan lelaki tua itu. Namun, cara dia membalas jasa itu agak unik dan belum pernah dilakukan oleh orang lain.
“Dia tak ada motosikal sendirikah?” Tanyaku lagi.
“Entahlah. Aku pun tak tahu. Yang aku tahu dia bekerja di kilang membuat bendera. Kilangnya hanya berselang empat buah bangunan dari pejabat kita.” Jawab rakanku lalu terus menuju ke pintu utama pejabat.
Aku hanya melongo tatkala mendengar jawapannya itu. Barangkali kerana dia bekerja di kilang membuat bendera maka dia memberikan Jalur Gemilang secara percuma kepada penunggang motosikal yang dibonceng atau dia mempunyai agenda lain atau…” Persoalan demi persoalan mulai menerjah ke otakku. Namun, semuanya hanya tergantung tanpa sebarang jawapan.
Kemudiannya aku melangkah ke pintu utama meninggalkan segala persoalan dengan harapan satu hari nanti aku akan mengetahui kisah sebenar lelaki tua yang bernama Jali itu.
Dua hari kemudiannya, kelibat Pakcik Jali tidak lagi kelihatan di simpang empat itu. Aku melihat ke muka jam yang kupakai. Mataku meliar mencari kelibat lelaki tua itu namun tidak ada. Lampu isyarat di simpang empat itu berkelip-kelip dan bertukar warna hijau menandakan aku harus bergerak meninggalkan simpang empat itu.
Ah, mana pula Pakcik Jali i ni? Agaknya sudah menumpang motosikal orang lain. Getusku di dalam hati.
Tengah hari itu, aku makan di sebuah gerai makan berdekatan dengan kilang bendera. Niatku hanya satu ingin berjumpa dengan Pakcik Jali dan mahu mengenalinya dengan lebih dekat.
Ternyata, benar sangkaanku. Di bawah sebatang pokok ketapang di tepi gerai makan itu kelihatan Pakcik Jali sedang duduk keseorangan sambil minum segelas kopi o pekat. Aku menghampiri Pakcik Jali secara perlahan-lahan.
“Pakcik.” Tegurku perlahan.
Pakcik Jali tersentak. Barangkali dia langsung tidak percaya dia akan berjumpa denganku di gerai makan itu. Mata kami saling berpandangan dan aku kemudiannya menarik kerusi dan duduk di samping lelaki tua itu.
“Boleh saya tanya sesuatu?” Aku memulakan perbualan.
Pakcik Jali berasa hairan. Keningnya berlaga-laga seolah-olah memikirkan sesuatu. Dia kemudiannya menganggukkan kepala dan tersenyum hingga menampakkan giginya.
“Kenapa Jalur Gemilang?” Soalku tanpa terus menunggu.
Lelaki tua itu hanya tersengih. Barangkali soalan sepandir itu tidak perlu dijawab. Jalur Gemilang simbol kebanggaan, perpaduan dan identiti negara. Bahkan ia membawa makna yang mendalam tentang sejarah, prinsip dan semangat rakyat Malaysia.
“Sebenarnya inilah cara Pakcik untuk memberitahu bahawa bulan ini adalah bulan kemerdekaan. Dengan memberikan hadiah kecil kepada orang ramai setidak-tidaknya dapat menyemarakkan lagi semangat cintakan tanah air. Inilah sumbangan Pakcik kepada negara. Walau kecil tetapi tetap luar biasa.” Terang lelaki tua itu berkobar-kobar.
Mataku hanya terpisat-pisat memandang wajah Pakcik Jali tatkala mendengar keterangannya. Jauh di sudut hatiku aku berasa malu kerana tidak mempunyai semangat jati diri yang besar di dalam diriku. Bahkan, kadang kala semangat kecintaanku kepada tanah air sentiasa berbolak-balik seperti lautan dipukul gelombang. Sepatutnya akulah yang menjadi tunjang utama membela tanah air sebab aku masih muda.
“Pakcik tahu mesti ada yang kata pakcik kedekut. Tapi biarlah apa orang nak kata. Bermula dengan membonceng motosikal orang lain, pakcik mendapat idea untuk memberikan Jalur Gemilang sebagai upah membawa pakcik ke sini. Kini, pakcik rasa lebih gembira dengan apa yang telah pakcik lakukan.” Terang lelaki tua itu panjang lebar.
Namun ada cecair jernih yang semakin bertakung di tubir kelopak matanya. Aku tahu niatnya sangat murni. Menyemarakkan semangat patriotisme juga seumpama berbakti kepada tanah air tercinta. Walaupun remeh di mata orang lain namun jasa kecil itu tidak boleh disangkal pentingnya di mata negara!
“Pakcik, nanti petang saya datang ambil pakcik di sini.” Aku mempelawa lelaki tua itu.
“Tak perlu susah-susah. Pakcik boleh balik dengan sesiapa sahaja. Kalau pakcik balik dengan kamu, macam mana pakcik hendak hadiahkan Jalur Gemilang ini kepada orang lain.” kata lelaki tua itu sambil menunjukkan beg yang berisi bendera Malaysia.
Aku hanya akur dengan kata-kata lelaki tua itu. Barangkali dia melakukan segalanya dengan semangat patriotik yang berkobar-kobar nyalaan di sukmanya. Justeru, aku juga harus mempunyai semangat patriotik yang sama seperti lelaki tua itu.
Kemudiannya, usai makan tengah hari, aku meminta izin untuk kembali ke pejabat dan meneruskan tugas harianku manakala lelaki tua itu juga terus mengatur langkah menuju ke tempat kerjanya dengan membawa plastik berisi Jalur Gemilang.
Kini, aku sentiasa melihat Pakcik Jali di simpang empat itu dengan Jalur Gemilang di tangannya. Kadang-kadang dia akan membonceng aku ke bandar. Kadang-kadang dia akan membonceng motosikal orang lain pula. Begitulah rutin yang dilakukan oleh Pakcik Jali.
Namun, sudah seminggu aku tidak melihat kelibat Pakcik Jali di simpang empat itu. Pada setiap pagi, mataku melilau mencari-cari Pakcik Jali namun masih juga tidak bertemu.
Adakah Pakcik Jali ditimpa musibah atau tidak sihat? Jika Pakcik Jali tidak ada, pasti Jalur Gemilang juga tidak ada. Itu aku pasti dan faham! Timbul pelbagai persoalan di benak fikirku. Aku mulai berasa tidak sedap hati. Usai habis bekerja, aku menghidupkan enjin motosikalku dan menuju ke gerai makan. Aku duduk di bawah pokok ketapang tempat Pakcik Jali selalu duduk di situ.
Kemudiannya, aku meninjau-ninjau kalau-kalau Pakcik Jali muncul namun kelibatnya langsung tidak nampak.
Ah, ke mana pula Pakcik Jali? Getusku di dalam hati. Niatku hanya satu iaitu ingin bertanyakan tentang Pakcik Jali. Itu sahaja!
Gelagatku pada petang itu diperhatikan oleh tuan gerai makan. Dia datang menghampiriku lalu bertanyakan sesuatu kepadaku.
“Tunggu siapa?”
“Saya menunggu Pakcik Jali. Sudah seminggu saya tidak nampak dia di simpang empat.” Jawabku.
Wajah tuan gerai makan itu berubah. Dia menggeleng-gelengkan kepala berulang kali. Apakah yang telah berlaku kepada Pakcik Jali?
“Kenapa dengan Pakcik Jali?” Soalku cemas.
“Sebenarnya, Pakcik Jali kemalangan motosikal. Motosikal yang ditumpangnya terjatuh di selekoh berhampiran kilang. Kata saksi kaki Pakcik Jali patah dan penunggang motosikalnya juga turut mengalami nasib sama. Sekarang mereka berada di hospital.”
Aku tersentak. Tiba-tiba sahaja jantungku berdetak kencang. Dengan segera aku menghidupkan enjin motosikal menuju ke arah hospital. Sesungguhnya, aku amat bersimpati dengan Pakcik Jali.
Sesampai di pekarangan hospital, aku memakir motosikalku. Aku meluru laju ke arah kaunter pertanyaan hospital. Aku berharap kakitangan hospital akan memberitahu aku tentang Pakcik Jali.
Meskipun aku tidak tahu nama penuh Pakcik Jali tetapi aku percaya mungkin mereka mengenalinya.
Benar telahanku, seorang kakitangan hospital mengetahui tentang hal Pakcik Jali. Lantas memberikan aku nombor katil dan di wad berapa Pakcik Jali berada. Aku berjalan laju ke alamat yang diberi dan di situ aku melihat Pakcik Jali sedang terlantar di atas katil dengan sebelah kaki bersimen.
“Pakcik Jali!” Panggilku kuat menyebabkan semua mata melihat ke arahku.
Pakcik Jali terkejut dengan kedatanganku. Dia mungkin tidak percaya bahawa aku akan datang menziarahinya di situ. Sambil tersenyum, dia melambaikan tangannya kepadaku.
“Semoga lekas sembuh pakcik. Kalau tak ada pakcik, maka tak adalah Jalur Gemilang.
“Pakcik mesti lekas sembuh untuk berikan Jalur Gemilang ini kepada orang lain di luar sana,” kataku sambil menghulurkan sehelai Jalur Gemilang kepada Pakcik Jali.
Dan petang itu menjadi saksi kepada pembakar semangat patriotisme di jiwaku. – UTUSAN










