Panggilan telefon dengan Kemboja punca PM Thailand dipecat - Utusan Malaysia

Panggilan telefon dengan Kemboja punca PM Thailand dipecat

Paetongtarn Shinawatra
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Thailand berdepan gelombang ketidakstabilan politik baharu selepas Mahkamah Perlembagaan memecat Perdana Menteri, Paetongtarn Shinawatra dan seluruh kabinetnya berhubung kontroversi panggilan telefon dengan bekas pemimpin Kemboja, Hun Sen.

Dalam keputusan undian 6-3, panel sembilan hakim mendapati Paetongtarn gagal mematuhi piawaian etika seorang perdana menteri apabila dalam perbualan yang dibocorkan, beliau  terlalu mesra dengan Hun Sen, termasuk merujuknya sebagai ‘pakcik’, serta menyifatkan seorang pegawai tentera Thai sebagai ‘lawan’.

Panggilan itu mencetuskan kemarahan rakyat, terutama dalam kalangan konservatif dan tentera, menyebabkan rakan utama gabungan Paetongtarn menarik diri dan hampir menjatuhkan kerajaan.

“Beliau gagal menegakkan integriti jawatan. Tindakannya mengutamakan kepentingan peribadi berbanding negara, merosakkan kepercayaan rakyat,” kata seorang daripada panel hakim ketika membacakan keputusan.

Paetongtarn, 39, anak kepada bekas PM jutawan Thaksin Shinawatra, digantung jawatan pada 1 Julai lalu.

“Niat saya hanya untuk menjaga nyawa rakyat dan anggota keselamatan. Tiada niat memperlekeh negara,” katanya kepada media.

Pemecatan itu menjadikan Thailand tanpa pengganti jelas, memandangkan semua calon perdana menteri yang layak menurut pilihan raya 2023 menghadapi pelbagai halangan, sama ada tiada sokongan parti, berdepan kes mahkamah, atau isu kesihatan.

Walaupun Timbalan Perdana Menteri Phumtham Wechayachai kini memangku jawatan, belum jelas sama ada beliau mempunyai kuasa untuk membubarkan Parlimen dan memanggil pilihan raya baharu.

Panggilan telefon Paetongtarn dengan Hun Sen pada Jun lalu berkisar isu sempadan yang tegang antara kedua-dua negara. Namun kebocoran rakaman oleh Hun Sen sendiri di media sosial mencetuskan kemarahan kerajaan Thai.

Ketegangan itu mencetuskan pertempuran berdarah di sempadan pada Julai, mengorbankan lebih 40 nyawa dan memaksa 300,000 orang melarikan diri – pertempuran paling dahsyat dalam beberapa dekad antara Thailand dan Kemboja.

Pemecatan Paetongtarn menjadikannya perdana menteri keenam daripada kem politik Thaksin yang dipecat mahkamah sejak dua dekad lalu. Hanya Thaksin sendiri yang terselamat ketika berdepan penghakiman serupa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×