JAKARTA: Ribuan penunggang e-hailing atau ojek dalam talian (ojol) mengiringi jenazah Affan Kurniawan, 21, yang maut selepas dilanggar kenderaan taktikal polis di sekitar Bangunan Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia, semalam.
Menerusi video dimuat naik di akaun X, @AGTBLHKK, memaparkan suasana solidariti penunggang ojol yang berkonvoi mengiringi jenazah Affan ke tanah perkuburan hari ini.
“Kawan-kawan ojol mengiringi Allahyarham Affan Kurniawan ke pengebumian. Al-Fatihah, semoga diampunkan segala dosanya, husnul khotimah untuk Allahyarham Affan,” tulis keterangan video tersebut.
Ketika dihubungi, pemilik akaun tersebut menjelaskan video itu dirakam dari atas Jambatan Pejalan Kaki (JPO) Phinisi Karet, pada pukul 9.48 pagi waktu tempatan.
JPO terletak di hadapan Menara Mayapada, Kuningan, Karet, Jakarta Pusat.
Perarakan itu menempuh perjalanan sekitar 7.8 kilometer dari Hospital Cipto Mangunkusumo (RSCM) menuju ke Tanah Perkuburan Umum (TPU) Karet Bivak dan berangkat pada pukul 9.30 pagi.
Dalam video tersebut, kelihatan ratusan penunggang ojol membentuk barisan panjang mengiringi kenderaan jenazah.
Siren dan hon turut bergema memenuhi kesesakan jalan, malah ada juga penunggang yang mengibarkan bendera kuning sebagai tanda berkabung.
Berdasarkan tinjauan, puluhan penunggang ojol turut berkumpul di hadapan pintu gerbang bangunan DPR, Senayan, di Jakarta Pusat hari ini.
Kebanyakan mereka merakam suasana semasa, selain membaling botol air mineral dan berteriak menuntut keadilan atas kematian Allahyarham Affan.- KOMPAS










