Tarif 50 peratus Trump jejaskan India, renggangkan hubungan perdagangan dua negara - Utusan Malaysia

Tarif 50 peratus Trump jejaskan India, renggangkan hubungan perdagangan dua negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Keputusan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menggandakan tarif terhadap import dari India kepada 50 peratus mulai semalam telah memberi tamparan hebat kepada hubungan perdagangan antara kedua-dua negara.

Langkah itu menyaksikan tambahan tarif ‘menghukum’ sebanyak 25 peratus dikenakan sebagai reaksi terhadap pembelian minyak Russia oleh India. Ini menjadikan keseluruhan tarif ke atas barangan import dari negara Asia Selatan itu mencecah 50 peratus, susulan tarif 25 peratus yang telah dikenakan sebelum ini.

Barangan terkesan termasuk pakaian, permata dan barang kemas, kasut, perabot, peralatan sukan serta bahan kimia, menjadikannya antara kadar tarif tertinggi dikenakan AS, setanding dengan yang dikenakan terhadap Brazil dan China.

Kenaikan ini dijangka memberi tekanan besar kepada ribuan pengeksport kecil di India, khususnya di negeri Gujarat, serta memberi kesan kepada pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi negara yang kini merupakan antara ekonomi paling pesat berkembang di dunia.

Setakat ini, masih tiada tanda-tanda rundingan baharu antara Washington dan New Delhi selepas lima pusingan rundingan terdahulu gagal menghasilkan perjanjian. India sebelum ini berharap agar kadar tarif dapat diturunkan ke sekitar 15 peratus, sebagaimana yang dipersetujui AS dengan Jepun, Korea Selatan dan Kesatuan Eropah.

Seorang sumber kerajaan India memaklumkan bahawa New Delhi masih berharap AS akan mempertimbangkan semula tambahan tarif 25 peratus itu, sambil memaklumkan bahawa kerajaan sedang merangka langkah-langkah untuk mengurangkan impaknya.

Pasaran India tidak memberi reaksi terhadap pengumuman itu semalam kerana bursa ditutup. Namun, pada hari Selasa sebelumnya, penanda aras pasaran saham India mencatatkan kejatuhan terbesar dalam tempoh tiga bulan susulan pengesahan rasmi dari Washington mengenai tarif baharu tersebut.

Mata wang rupee India turut merosot selama lima sesi berturut-turut, dan ditutup pada paras terendah dalam tempoh tiga minggu pada Selasa.

Dalam perkembangan berkaitan, Kastam dan Perlindungan Sempadan AS mengeluarkan notis kepada penghantar barang, membenarkan pengecualian selama tiga minggu bagi barangan dari India yang sudah dimuatkan ke kapal dan dalam perjalanan ke AS sebelum tarikh akhir.

Penasihat perdagangan Rumah Putih, Peter Navarro, berkata India boleh mengelak cukai tambahan itu dengan berhenti membeli minyak dari Russia.

“Penyelesaiannya mudah. India boleh menikmati potongan tarif 25 peratus serta-merta jika ia menghentikan pembelian minyak dari Russia dan berhenti membantu membiayai mesin perang negara itu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×