PETALING JAYA: Konsisten dan kurangkan kesilapan perlu diterapkan Man Wei Chong-Tee Kai Wun jika berhajat melangkah jauh pada Kejohanan Badminton Dunia 2025 di Paris, Perancis.
Semalam, gandingan No. 2 negara itu hampir tersungkur, sebelum bangkit menewaskan beregu tuan rumah, Christo Popov-Toma Junior Popov 21-15, 13-21, 21-19.
Pasangan negara akan menentang Ben Lane-Sean Vandy dari England selepas ini dan jika menang mereka dijadual bertemu gandingan No. 1 dunia, Kim Won Ho-Seo Seung Jae dari Korea Selatan pada suku akhir.
Wei Chong berkata, kalau boleh dia enggan terlalu memikirkan tentang sasaran ataupun keputusan yang mampu dicatat dalam setiap pertemuan yang mereka harungi.
“Apa yang paling penting sekarang ialah persembahan kami dan perlu bermain secara konsisten supaya kami boleh menang,” katanya ketika ditemu bual Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas perlawanan tamat.
Pemain kelahiran Melaka itu turut mengakui, dia dan Kai Wun perlu lebih bersedia ketika permainan rali kerana kutipan mata tidak semestinya diraih menerusi pukulan smash.
“Bermain smash mungkin satu atau dua mata kami dapat kutip, kena juga bersedia dengan rali, memang agak sukar, tetapi kami perlu bersedia.
“Bertemu beregu Popov, mereka bermain dengan sangat baik lebih-lebih lagi beraksi di laman sendiri, pertahanan mereka juga bagus,” katanya. – UTUSAN










