SATU aspek yang masih ketinggalan dalam sistem perkhidmatan penerbangan tambang rendah ialah pilihan perlindungan perjalanan berasaskan takaful. Satu-satunya pelan perlindungan yang ditawarkan ialah insurans konvensional.
Insurans konvensional sering dikaitkan dengan unsur riba (faedah berasaskan masa dan wang), gharar (ketidaktentuan) dan maisir (perjudian), yang semuanya telah difatwakan sebagai tidak patuh syariah oleh Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia dan badan-badan autoriti Islam di peringkat antarabangsa.
Maka, mengambil perlindungan berbentuk insurans konvensional bagi seorang Muslim yang berpegang teguh pada prinsip agamanya boleh menjadi masalah serius.
Dalam hal ini, takaful muncul sebagai alternatif yang selari dengan prinsip Islam. Berasaskan konsep ta’awun (saling membantu) dan tabarru’ (derma ikhlas), takaful menolak unsur faedah dan spekulasi tidak pasti, malah pengurusan risiko dilakukan secara kolektif dan telus.
Persoalannya, mengapa syarikat penerbangan yang beroperasi di negara majoriti Muslim seperti Malaysia dan Indonesia masih belum menyediakan pelan takaful sebagai pilihan?
Apa yang lebih menarik, syarikat-syarikat penerbangan besar seperti Malaysia Airlines (MAS), Emirates, Qatar Airways dan Saudia Airlines lebih awal memahami keperluan pelanggan pelbagai agama dan memberikan pilihan perlindungan perjalanan seperti insurans atau takaful ketika pembelian tiket.
Bahkan, beberapa syarikat mengintegrasikan pelan takaful secara automatik untuk penumpang Muslim.
Ini jelas menunjukkan penyedia perkhidmatan dalam industri penerbangan sudah sedar tanggungjawab mereka bukan sekadar mengangkut manusia dari titik A ke titik B. Mereka juga bertanggungjawab menyediakan persekitaran dan sistem yang menghormati prinsip hidup pelangan. Contohnya, pembelian insurans automatik yang terikat pada sistem.
Dengan kedudukan syarikat sebagai peneraju tambang rendah di Asia Tenggara dan dominasi pasaran domestik Malaysia, kegagalan menawarkan pilihan takaful adalah satu bentuk pengabaian tanggungjawab sosial korporat yang nyata.
Isu ini bukan semata-mata soal agama. Ia juga menyentuh hak pengguna untuk memilih produk kewangan yang selari dengan kepercayaan dan nilai mereka. Dalam persekitaran perundangan yang progresif, hak memilih ini sepatutnya menjadi standard minimum, bukan permintaan luar biasa.
Dengan menawarkan dua pilihan iaitu insurans dan takaful, syarikat penerbangan bukan sahaja menunjukkan kepekaan terhadap kepelbagaian latar pelanggan, malah mempamerkan komitmen terhadap nilai keadilan, kebebasan beragama dan tanggungjawab sosial.
Penting untuk ditegaskan, tidak ada tuntutan supaya insurans konvensional dihapuskan. Sebaliknya, apa yang diminta hanyalah pilihan tambahan untuk mereka yang tidak mahu menanggung risiko pelanggaran syariah. Memberikan pilihan adalah tindakan inklusif, bukan eksklusif.
Dari sudut pelaksanaan, menyediakan pelan takaful bukanlah sesuatu yang sukar. Malaysia memiliki banyak pengendali takaful yang telah lama menawarkan produk perjalanan. Kerjasama strategik dengan salah satu pengendali ini boleh dibentuk dengan cepat, seterusnya diintegrasikan ke dalam sistem tempahan sedia ada.
Syarikat penerbangan juga boleh memilih pelan takaful hanya untuk laluan domestik terlebih dahulu sebelum diperluas ke laluan antarabangsa.
Dalam dunia perkhidmatan moden, memberi pilihan yang adil kepada pelanggan adalah bukti penghormatan terhadap kebebasan dan nilai manusia.
Untuk syarikat penerbangan, menyediakan pilihan takaful bukan sekadar memenuhi tuntutan pengguna Muslim bahkan ia adalah langkah asas dalam membina sistem perkhidmatan yang lebih bertanggungjawab, adil dan inklusif.
Sebagai pengguna tetap penerbangan ini dan sebagai ahli masyarakat yang prihatin, saya menyeru agar langkah ini diambil segera. Jangan biarkan pelanggan Muslim terus berada dalam dilema antara keselamatan dan keimanan. – UTUSAN
DR. MOHAMAD ISA ABD. JALIL
Pensyarah Kanan,
Universiti Malaysia Sabah (UMS)










