PETALING JAYA: Realiti getir kembali ke gelanggang antarabangsa akhirnya terpaksa ditelan Lee Zii Jia apabila tersingkir seawal pusingan pertama Kejohanan Badminton Dunia 2025 di Paris, kelmarin.
Namun, kekalahan pemain perseorangan profesional negara itu tidak terlalu mengejutkan jika melihat kepada pengakuannya sendiri bahawa dia masih belum mencapai tahap sebenar selepas berehat panjang sejak Mac lalu.
Bekas juara All England 2021 itu mengakui, keutamaan utamanya ketika ini hanyalah menamatkan perlawanan tanpa kesakitan dan kecederaan.
“Saya gembira dapat habiskan perlawanan pertama tanpa sebarang kesakitan dan tanpa kecederaan. Itu yang paling penting buat saya.
“Untuk sasaran seterusnya, sudah tentu cuba mencari kembali ‘tournament feeling’ saya dalam menyesuaikan diri dengan kejohanan akan datang,” kata Zii Jia.
Beraksi di Adidas Arena, venue yang pernah menjadi saksi dia meraih gangsa Sukan Olimpik Paris, Zii Jia yang menghuni ranking ke-52 dunia akur tunduk kepada pemain Korea Selatan, Jeon Hyeok Jin yang berada di ranking ke-38 dunia dengan keputusan 17-21, 11-21 dalam masa 41 minit.
Kekalahan itu sekali gus menjadi pencapaian paling hambar buat anak jati Alor Setar itu sepanjang lima penampilannya di pentas Kejohanan Dunia.
Zii Jia sebelum ini pernah mara ke suku akhir pada 2019 dan 2021, selain ke pusingan 16 terbaik pada 2022 dan 2023.
Mengulas lanjut, pemain kelahiran Kedah itu mengakui proses pemulihannya daripada kecederaan sangat mencabar kerana tempoh rehabilitasi yang panjang dan membosankan.
“Saya rasa bahagian paling sukar adalah di pertengahan pemulihan kerana saya sangat terdesak untuk kembali berlatih dan tertanya-tanya kenapa pemulihan begitu perlahan,” jelasnya.
Namun, semangatnya tetap tidak luntur apabila percaya mampu bangkit semula dengan sokongan padu penyokong.
“Bukan hanya untuk mereka (bangkit), malah untuk diri saya juga, saya perlu bersabar dan saya yakin boleh kembali ke tahap seperti dulu,” katanya. – UTUSAN










