KUALA LUMPUR: Kekalahan dalam separuh akhir Terbuka Kanada mungkin menafikan tiket ke final, namun Lee Zii Jia menganggap kejohanan itu jauh lebih bermakna apabila berjaya menemui semula keyakinan yang hilang sejak kembali daripada kecederaan awal tahun ini.
Pemain profesional negara yang menghuni ranking ke 60 dunia itu menyifatkan persembahan dipamerkan sepanjang kempen di Kanada sebagai petanda positif permainannya semakin kembali ke tahap sebenar.
“Ia adalah antara persembahan terbaik saya sejak kembali daripada kecederaan.
“Saya memang banyak bergelut sebelum ini dan sedang cuba mendapatkan semula keyakinan diri,” katanya.
Bekas pemain No.2 dunia itu mengakui masih belum berada pada tahap terbaik untuk mencabar kelompok 10 terbaik dunia, namun percaya kejohanan Super 300 itu menjadi langkah pertama ke arah kebangkitan semula.
“Walaupun saya masih belum menang ke atas pemain kelompok 10 terbaik dunia, saya anggap Terbuka Kanada ini sebagai satu permulaan yang baik.
“Saya mahu terus mendaki semula ranking dunia dan saya percaya saya berada di landasan yang betul,” katanya.
Zii Jia sebelum itu menamatkan cabaran di separuh akhir selepas tewas 13-21, 21-18, 18-21 kepada pemain Jepun, Riki Takei, sekali gus gagal melangkah ke final Jelajah Dunia buat kali pertama sejak menjuarai Terbuka Australia pada Jun tahun lalu.
Bekas juara All England itu kini mengalihkan fokus ke Terbuka Taiwan dari 28 Julai hingga 2 Ogos ini menerusi pusingan kelayakan sebelum meneruskan cabaran di Korea Masters. – UTUSAN









