KUALA LUMPUR: Tiga nama besar badminton negara, Lee Zii Jia, Soh Wooi Yik dan Toh Ee Wei sah terlepas peluang beraksi di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 selepas tidak disenaraikan dalam skuad kebangsaan yang diumumkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), hari ini.
Ee Wei yang masih menjalani proses pemulihan selepas menjalani pembedahan lutut di Melbourne, Australia kira-kira dua minggu lalu turut tidak dipilih bagi menghadapi temasya terbesar Asia itu.
Kekosongan ditinggalkan Ee Wei membuka ruang kepada Cheng Su Yin untuk menggalas cabaran negara apabila diberi tanggungjawab bergandingan dengan Chen Tang Jie dalam acara beregu campuran.
Satu lagi slot beregu campuran menjadi milik pasangan profesional, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie yang terus diberi kepercayaan memperkuatkan kontinjen negara.
Dalam acara beregu lelaki pula, ketiadaan Wooi Yik menyaksikan Aaron Chia akan membentuk gandingan baharu bersama Tee Kai Wun dalam usaha memburu kejayaan di pentas Sukan Asia.
Turut membawa cabaran Malaysia dalam acara itu ialah pasangan No. 6 dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani yang kekal menjadi sandaran utama negara.
Bagi perseorangan lelaki, tugas mengutip mata diserahkan kepada Leong Jun Hao dan Justin Hoh, manakala K. Letshanaa bersama Wong Ling Ching dipilih beraksi dalam acara perseorangan wanita.
Malaysia turut mempertaruhkan pasangan utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah dalam beregu wanita selain gandingan Low Zi Yu-Noraqilah Maisarah Ramdan yang melengkapkan senarai.
Bagi saingan berpasukan lelaki, skuad negara diperkuatkan dengan kehadiran Eogene Ewe dan Kong Wei Xiang dalam acara perseorangan, selain Tang Jie serta Soon Huat sebagai pilihan untuk acara beregu.
Skuad wanita pula dibarisi Letshanaa, Ling Ching, Oo Shan Zi, Eng Ler Qi, Pearly, Thinaah, Zi Yu, Noraqilah, Su Yin dan Shevon bagi menggalas cabaran negara di Aichi-Nagoya.
Acara badminton Sukan Asia Aichi-Nagoya dijadual membuka tirai menerusi saingan berpasukan dari 20 hingga 24 September, sebelum perebutan pingat bagi acara individu berlangsung dari 25 hingga 29 September.










