Guru sebatang lilin, membakar diri, menerangi orang lain

Guru sebatang lilin, membakar diri, menerangi orang lain

KASIH guru tiada ternilai, mendidik tanpa mengenal penat, menyayangi tanpa syarat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GURU merupakan antara profesion yang tertua dalam sejarah kehidupan manusia. Oleh itu, siapapun kita, pastinya mempunyai guru. Falsafah sebagai seorang guru tetap sama, umpama sebatang lilin, membakar diri, menerangi orang lain.

Falsafah ini menuntut pengorbanan dan ia utuh serta tidak dapat ditukar ganti dengan emas atau wang ringgit walaupun dunia sudah diterjah oleh kecerdasan buatan (AI) dan digitalisasi. Makna sebuah pengorbanan di sebalik falsafah itu hanya terbayar oleh kejayaan murid.

Benarlah kemuncak pendidikan itu ialah cinta. Cinta guru pada muridnya membawa kepada pengorbanan dan membina keserasian antara guru dan murid tanpa mengira latar belakang. Demikianlah juga kukuhnya falsafah guru umpama sebatang lilin yang sanggup membakar diri untuk menerangi orang lain telah menjadi asas pembinaan karakter guru di negara ini sejak turun-temurun sehingga mendapat penghormatan tinggi daripada masyarakat.

GURU DI PEDALAMAN

Terdapat 10, 239 buah sekolah di seluruh pelosok tanah air. Terdapat sekolah yang terletak jauh di pedalaman yang memerlukan guru merentas lautan dengan lambungan ombak, meredah denai dan sungai yang di kiri dan kanan berselirat pokok paya bakau. Di tebing sungai pula, terdampar buaya dengan mulutnya ternganga.

Terdapat juga sekolah yang jauh dengan berjam-jam atau seharian perjalanan untuk sampai, iaitu dari sebuah perjalanan melalui jalan lori balak ke sebuah perjalanan yang penuh dengan selut dikelilingi hutan belantara.

Namun demikian, guru dengan nyala rasa yang membara dan ikhlas tegar mendepani semua cabaran itu.

Matlamat untuk memberikan akses pendidikan yang saksama menerusi guru yang berkualiti bukan angan-angan. Falsafah ini memberikan motivasi berharga untuk sebuah pengorbanan ikhlas guru yang sanggup berjauhan dengan keluarga, taulan serta melupakan keseronokan hidup di bandar demi anak bangsa yang berada jauh di desa dan pedalaman selain serba kekurangan.

Falsafah keramat ini menjadi azimat kepada guru sehingga sanggup mandi dan membasuh pakaian di sungai serta malam pula bertemankan cahaya bulan.

Falsafah keramat ini membina dengan teguh cinta guru pada profesion dan anak bangsa yang tinggal jauh di pedalaman.

Lantaran itu, guru terus ampuh membawa fikrah membina generasi Malaysia Madani dengan pelbagai ilmu pengetahuan serta kemahiran bersama-sama dengan pendidikan manusiawi yang diperkukuh dengan karamah insaniah iaitu adab, akhlak dan integriti.

Bagi guru, pengorbanan mesti dilakukan demi mengangkat martabat murid sebagai insan dalam kehidupan era digital.

GURU PADA MURID

Latar belakang murid yang pelbagai memerlukan sebuah pengorbanan tulus ikhlas daripada seorang guru.

Guru tetap memberikan kualiti pendidikan yang sama kepada muridnya walaupun siapapun mereka. Guru mencari segala ikhtiar bagi membantu dan menyokong murid untuk belajar. Selain itu, menikmati kejayaan bukan sahaja untuk akademik tetapi pembangunan nilai diri dan membina kesejahteraan mental, psikologi serta emosi.

Kesungguhan daripada sebuah pengorbanan tersebut, kadang kala menjadikan guru sanggup mengeluarkan wang sendiri demi melihat muridnya riang dan ketawa.

Pada guru, keikhlasan membelanjakan wang saku sendiri lahir daripada keikhlasan cikgu yang teguh dengan falsafah keramat yang digenggam erat itu.

PRASANGKA PADA FALSAFAH

Falsafah keramat guru umpama sebatang lilin, membakar diri, menerangi orang lain kadang kala dipesongkan dengan pemahaman yang salah. Ada pihak yang mengatakan falsafah keramat ini membuatkan pihak bertanggungjawab mengambil kesempatan dan akhirnya golongan pendidik dibebani dengan pelbagai tanggungjawab.

Ada juga prasangka yang mengatakan falsafah keramat ini dijadikan alasan pihak yang bertanggungjawab untuk bersikap lepas tangan. Semua prejudis atau prasangka itu adalah tidak benar.

Hakikatnya, kerajaan dan Kementerian Pendidikan (KPM) bersungguh-sungguh melaksanakan tanggungjawab untuk pendidikan anak bangsa. Menerusi Tujuh Teras Nadi Keunggulan KPM, Reformasi Pendidikan, Pasukan Pertugas Khas dan Reformasi Sekolah, KPM melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan murid mendapat pendidikan yang terbaik dan memperkukuh sistem pendidikan.

Pelbagai usaha sudah dan sedang dilaksanakan oleh KPM, iaitu daripada soal komunikasi, pembinaan karakter, isu kemiskinan multidimensi murid, isu keciciran pelajar, kebajikan guru, mengubah suai dan menaik taraf bangunan daif dan meningkatkan keupayaan pendidikan digital.

Bagi membantu murid, Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM 150 diberikan kepada murid sekolah rendah sehingga tingkatan enam. BAP untuk tingkatan enam adalah julung-julung kali pada tahun ini, iaitu bermula pelajar semester satu.

Malah, KPM menyediakan lima bantuan persekolahan umum dan 13 bantuan persekolahan khusus untuk kepentingan murid. KPM juga menyelenggara 756 buah bangunan daif daripada 1,176 buah dalam perancangan.

Di samping itu, KPM sudah menyiapkan 242 buah dewan terbuka daripada 375 buah yang dirancang untuk keselesaan murid.

Oleh itu, tidak timbul prasangka seperti mengambil kesempatan dan bersikap lepas tangan yang dimomokkan dengan falsafah keramat tersebut.

HAKIKAT DI SEBALIK FALSAFAH

Falsafah keramat ini sebagai motivasi kepada guru untuk menjadi pembolehdaya terhadap pendidikan negara. Pegangan jitu pada falsafah keramat ini mendorong guru untuk sanggup berkorban dengan berkhidmat di kawasan pedalaman atau di mana-mana sahaja tanpa berkira.

Sikap ini membolehkan anak bangsa di jauh pedalaman dan di seluruh pelosok negara mendapat pembelaan dalam aspek pendidikan.

Guru juga dengan rasa gembira bersedia menyiapkan padang walaupun tubuh dibakar panas terik mentari demi memastikan murid dapat bersukan dengan sempurna. Guru juga tanpa bersoal jawab sanggup menghantar murid dengan kereta sendiri ke pertandingan di luar sekolah dan membawa murid balik menjelang maghrib sehingga sanggup menghantar murid ke pintu rumah. Semua ini dilakukan dengan rela tanpa rasa terpaksa. Itulah pengorbanan seorang guru atau cikgu.

Senario ini merupakan gambaran sinergi di sebalik falsafah keramat itu. Jika guru berkira-kira, tidak bersedia berkorban dan tiada kasih sayang pada murid, nescaya anak bangsa akan teraniaya dan sistem pendidikan negara menjadi lesu. Oleh hal demikian, pendidikan itu amat ‘lembut’ dan ‘indah’.

Pendidikan itu berlangsung dengan sebuah persefahaman, pengorbanan dan keikhlasan.-UTUSAN

DR. Mohd. Azam Ahmad ialah Ketua Pengarah Pendidikan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×