GAZA: Tentera Israel pada Ahad memperluaskan operasi darat di dalam dan sekitar Gaza City, apabila kereta kebal mara ke kawasan perumahan dengan dilindungi serangan udara dan tembakan artileri.
Penduduk melaporkan perisai Israel memasuki daerah Zeitoun dan al-Sabra di selatan Gaza serta kawasan Jabalia di utara, manakala jet pejuang menggempur bangunan dan kediaman. Letupan serta api membakar kawasan tanah menggunakan peluru berpandu pembakar turut dilaporkan, memaksa puluhan keluarga melarikan diri ke arah barat dan selatan untuk mencari perlindungan.
Jurucakap Pertahanan Awam Gaza, Mahmoud Basal berkata, serangan udara dan dron menyasarkan rumah, pangsapuri, sebuah sekolah serta khemah pelarian di seluruh Semenanjung Gaza.
Beliau mendakwa tentera Israel turut melepaskan tembakan ke arah penduduk Palestin yang berhimpun berhampiran dua pusat bantuan di Gaza tengah dan selatan. Sekurang-kurangnya 25 orang terbunuh dan puluhan lagi cedera sejak awal pagi, katanya.
Pegawai Palestin pula berkata bangunan tinggi di Zeitoun, Sabra dan Jabalia turut menjadi sasaran, menyebabkan ramai keluarga terperangkap. Hospital yang sudah rosak teruk serta kekurangan bekalan kini berdepan kesukaran merawat mangsa.
“Golongan pelarian tidak tahu ke mana hendak pergi. Tiada lagi kawasan yang selamat,” ujar Basal.
Pejabat Media Kerajaan Gaza mengecam ancaman Israel untuk menceroboh Gaza yang dihuni lebih sejuta orang, menyifatkan tindakan itu sebagai eskalasi berbahaya dan memberi amaran ia bakal menjadi jenayah perang besar-besaran memandangkan sistem kesihatan sudah lumpuh.
Kementerian Luar Palestin menggesa tindakan tegas antarabangsa bagi menghentikan tindakan ‘sengaja’ Israel mencetuskan kebuluran. Menurutnya, krisis makanan di Gaza bukan berpunca daripada kekurangan sumber tetapi akibat sekatan dan pengeboman, sambil menegaskan pihaknya akan membawa isu itu melalui saluran diplomatik dan undang-undang.
Dalam kenyataannya, tentera Israel berkata pasukan mereka memasuki semula Jabalia bagi melemahkan lagi kemampuan ketenteraan Hamas termasuk memusnahkan infrastruktur di atas dan bawah tanah serta menghalang pejuang kembali bertapak.
“Tindakan ini membolehkan perluasan operasi ke kawasan lain,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Hamas mendakwa pihaknya bersetuju dengan pertukaran tahanan secara separa dan bersedia menerima gencatan senjata penuh, namun menuduh Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menghalang perjanjian meskipun usaha sedang dimediasi Mesir dan Qatar.
Hamas menegaskan hanya gencatan senjata mampu menjamin pembebasan semua tebusan Israel, sambil meletakkan tanggungjawab sepenuhnya ke atas Netanyahu.
Pihak berkuasa turut melaporkan 289 kematian akibat kekurangan zat makanan atau kebuluran, termasuk 115 kanak-kanak dengan lapan daripadanya dalam tempoh 24 jam terakhir. – AGENSI










