Kereta usang di parkir hospital

Kereta usang di parkir hospital

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sudah tiga malam berturut-turut Azim menemani ibunya di hospital. Ikutkan hati boleh sahaja dia pulang dan bermalam di hostel, tetapi timbul pula rasa kasihan di hatinya apabila melihatkan ibunya terlantar seorang diri di situ.

“Tak payahlah kau susah-susah temankan emak di sini, kau balik sajalah ke hostel, esok kan ada kelas,” kata ibunya Wan Idah sambil membetulkan bantal di kepalanya.

Azim hanya tersengih. Dia tahu ibunya cukup risau kalau dia ponteng kelas, tapi jauh di lubuk hatinya dia lebih pentingkan kesihatan ibunya berbanding pengajiannya ketika itu.

“Alah, emak tak payah risaulah. Esok saya cuma ada satu kelas, itu pun pukul 4 petang,” sambung Azim tersengih.

Wan Idah hanya mampu menggelengkan kepala. Faham benar dia dengan kelakuan anak sulungnya itu. Walaupun dikurniakan tiga anak, tetapi memang Azimlah yang paling rapat dengannya, manakala dua lagi anaknya yang lain masing-masing menuntut di IPTA di Kuala Lumpur dan Johor Baharu.

Suaminya pula ketika ini sedang berkursus di Pulau Pinang, jadi dia hanya berkesempatan datang melawat ketika hujung minggu sahaja. Wan Idah tidak kisah pun, dia tahu suaminya memang seorang yang sibuk, tambah pula sejak dinaikkan pangkat sebagai penyelia kanan di syarikatnya.

“Mak, saya mahu keluar sekejap nak beli minuman. Mak nak kirim apa-apa tak? Tanya Azim kepada ibunya.
Wan Idah sekadar tersenyum sambil menggelengkan kepala.

“Sudah lewat ini, emak ingat hendak tidur dululah. Kamu pergilah balik asrama, tak payah temankan emak malam ini. Kalau kamu hendak datang esok lepas habis kelas kamu singgahlah,” kata ibunya sambil memandang ke arah Azim yang sudah siap bangun dari kerusi.

“Okeylah mak, kalau macam itu saya balik dululah, esok lepas habis kelas saya datang semula,” kata Azim sambil mencium tangan ibunya sebelum berlalu pergi.

Azim menggosok kedua tapak tangannya sebaik keluar dari pintu utama hospital. Sejuk sangat rasanya malam itu. Dia toleh jam di tangan, sudah hampir pukul 12 tengah malam.

Hatinya tidaklah begitu risau sangat kerana ibunya sudah pun selesai buat pembedahan, malah doktor yang merawatnya juga beritahu ibunya dalam keadaan yang baik.

Perlahan-lahan dia melangkah menuju ke kawasan parkir motosikal di belakang bangunan. Matanya melilau liar melihat sekeliling, nampak sunyi tanpa ada kelibat manusia cuma sesekali kedengaran salakan anjing dari arah lorong berdekatan.

Sedang matanya melilau memandang sekeliling, tiba-tiba matanya terpandang ke arah sebuah kereta yang berada di hujung parkir tidak jauh dari situ.

Lampu kereta tersebut terpasang malap seperti mahu kehabisan bateri. Pelik juga dia fikir kenapa pemandunya meletakkan kereta di situ. Sudahlah jauh dari hospital, terpencil pula malah kawasan tersebut juga agak bersemak samun seakan tidak terjaga.

“Eh, apa pula masalah kereta itu, entah-entah tak boleh start agaknya,” bisik Azim perlahan.

Azim mengecilkan mata untuk melihat dengan lebih jelas. Nampaknya di situ hanya terdapat tiga buah kenderaan sahaja. Dia lantas mengatur langkah laju menghampiri kereta tersebut kalau-kalau ada yang perlukan pertolongan.

Tidak sampai beberapa meter dia melangkah, tiba-tiba lampu kenderaan tersebut padam serta-merta. Azim tergamam. Hatinya mula berdetik.

“Eh, kenapa pula bila dia nampak aku lampunya terus dimatikan. Entah-entah ada orang nak buat benda tak baik agaknya,” katanya dalam hati.

Azim teruskan langkah. Hatinya tetap ingin tahu apa yang berlaku sebenarnya. Ketika otaknya ligat berfikir mencari jawapan, tiba-tiba lampu kereta tersebut terpasang sekali lagi.

Dia kembali percepatkan langkah. Dari jarak beberapa meter di hadapan dia dapat melihat kereta tersebut dengan jelas. Seluruh kenderaan itu nampak usang, catnya juga sudah luntur serta menampakkan kesan karat manakala cerminnya juga sudah tidak jelas kerana dipenuhi debu dan kotoran.

Dan sebaik sahaja dia berada di hadapan kenderaan tersebut, tiba-tiba hidungnya tercium bau yang amat busuk. Serta merta tekaknya terasa mual seperti hendak muntah. Matanya liar pandang di semak samun berdekatan kalau-kalau ada bangkai haiwan di situ.

Sudah beberapa kali Azim meludah ke tanah. Tidak pernah lagi dia mencium bau sebusuk itu. Tangannya terus ditekup ke hidung sambil matanya liar mengintai di sekeliling kereta tersebut.
ZRASSSS… ZRASSSS… ZRASSSS…

Azim tersentak. Telinganya menangkap satu bunyi aneh dari dalam kenderaan. Bunyi seakan orang sedang mencakar sesuatu.

Dia mengerutkan dahi.- UTUSAN

bersambung

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN