BARCELONA: Seorang pengawal trafik udara di Lapangan Terbang El Prat, Catalonia, Sepanyol di sini mendedahkan kisah mengejutkan apabila sepasang suami isteri sanggup meninggalkan anak lelaki mereka yang berusia 10 tahun di terminal semata-mata untuk tidak terlepas penerbangan ke Maghribi.
Kejadian bulan lalu itu didedahkan Lilian Limasin menerusi satu hantaran dalam TikTok yang tular.
Katanya, hari tersebut bermula seperti biasa sehinggalah pada 8.30 pagi waktu tempatan, ketika mengendalikan pelepasan pesawat ke Casablanca, apabila dia menerima mesej kecemasan mengarahkan pesawat berkenaan digantung sementara.
Tidak lama sebelum itu, polis Catalan menemui seorang kanak-kanak lelaki berlegar seorang diri di terminal dan memberitahu ibu bapanya sudah menaiki pesawat menuju ke Maghribi tanpa dirinya.
Usaha awal untuk memanggil ibu bapanya melalui sistem pengumuman lapangan terbang gagal sebelum pihak berkuasa akhirnya mengesahkan pasangan terbabit sudah berada di dalam pesawat.
Atas arahan Pasukan Pengawal Awam Sepanyol, pelepasan pesawat tersebut ditangguhkan untuk menyelesaikan isu berkenaan.
Siasatan mendapati pasangan itu menyedari pasport anak sulung mereka sudah tamat tempoh dan hanya memiliki pasport Sepanyol yang memerlukan visa sah untuk ke Maghribi.
Tidak mahu membatalkan percutian mereka, pasangan itu meninggalkan anak tersebut di terminal dan menghubungi seorang ahli keluarga untuk mengambilnya.
“Mereka fikir tindakan itu perkara biasa, sedangkan jelas ia satu kesalahan,” kata Limasin.
Pasangan itu kini berdepan siasatan kerana disyaki meninggalkan anak tanpa jagaan dan menyebabkan kelewatan penerbangan.
Menurut laporan media Sepanyol, hukuman terhadap pasangan tersebut akan ditentukan selepas siasatan pihak kebajikan sosial selesai. -AGENSI











