THE HAGUE: Menteri Luar Belanda, Caspar Veldkamp, mengumumkan peletakan jawatannya pada Jumaat kerana tidak bersetuju dengan pendirian kerajaan sementara negara itu mengenai perang Israel di Gaza.
Veldkamp, yang merupakan sebahagian daripada kerajaan sementara Belanda berkata, beliau tidak lagi dapat menyokong dasar kerajaan yang enggan mengenakan tindakan tambahan terhadap Israel berhubung konflik di Gaza dan rancangan perluasan di Tebing Barat yang diduduki.
“Saya merasakan terdapat tentangan dalam kabinet terhadap langkah tambahan,” katanya kepada media, sambil menambah bahawa beliau akan secara rasmi mengemukakan surat peletakan jawatan.
Kerajaan Belanda tumbang pada 3 Jun lalu dan kini ditadbir oleh kerajaan sementara minoriti sehingga kerajaan baharu dibentuk selepas pilihan raya Oktober, satu proses yang dijangka mengambil masa beberapa bulan.
Konflik Israel di Gaza semakin memuncak dengan operasi ketenteraan bagi menguasai Bandar Gaza, memindahkan orang awam ke selatan, memerangi Hamas dan meningkatkan tekanan bagi pembebasan tebusan.
Terdahulu pada Jumaat, sebuah badan pemantau kelaparan global melaporkan bahawa penduduk di Bandar Gaza dan kawasan sekitarnya kini mengalami kebuluran secara rasmi.
Israel bagaimanapun menolak laporan itu sebagai tidak benar dan berat sebelah.
Dalam pada itu, Israel turut memberi kelulusan akhir minggu ini untuk rancangan pembinaan penempatan baharu yang bakal membahagikan kawasan Tebing Barat, satu langkah yang berpotensi memecah-belah wilayah yang diinginkan rakyat Palestin untuk negara merdeka mereka. -AGENSI











