“SETIAP keberanian itu dan segala kerelaan itu dilakukan bukan untuk kepentingan diri tetapi dilaksanakan untuk kepentingan mempertahankan negara bangsa.
“Semangat kesetiaan kepada raja dan negara mesti dijunjung setiap masa, berteraskan Perlembagaan dan berpaksikan undang-undang.” – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Setiap orang yang mengaku diri sebagai warga negara Malaysia sudah tentu maklum dan arif tentang prinsip negara yang dipasakkan melalui Rukun Negara.
Yang paling utama dalam lima prinsip ini adalah Kesetiaan kepada raja dan negara, yang menuntut setiap rakyat bumi merdeka ini untuk memberi sumpah taat setia kepada Malaysia tanpa sebarang pengecualian.
Namun, mutakhir ini sungguh menyedihkan apabila pelbagai insiden perkauman dimainkan sehingga menggugat rasa kesetiaan yang ada kepada bumi Malaysia. Sebagai contoh, dua minggu lalu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua Port Dickson didapati mengibarkan Jalur Gemilang secara salah.
Insiden serupa berulang apabila sebuah kedai perkakas bukan sahaja memasang Jalur Gemilang secara terbalik malah merakam aksi pekerja ketika pemasangan dilakukan yang melihat bendera Malaysia terleret di tanah.
Pada hari yang sama, sebuah Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) yang dikelolakan di bawah parti politik, Pas juga didapati mengibarkan Jalur Gemilang dalam keadaan terbalik. Terkini, sebuah klinik pergigian di Johor pula melakukan aksi sama.
Ramai rakyat Malaysia yang kekal setia kepada negara ini menyuarakan kecaman kepada insiden yang berulang saban tahun. Malah, ada yang bertindak tegas dengan melaporkan insiden penghinaan sebegini kepada pihak polis untuk disiasat. Natijahnya, pemilik kedai perkakasan berkenaan ditahan bagi membantu siasatan polis.
Tindakan pihak berkuasa adalah isyarat yang jelas bahawa sebarang perilaku yang boleh mendatangkan kegusaran awam harus dibanteras dari awal. Lebih-lebih lagi apabila perilaku itu mampu dilihat sebagai menghina negara Malaysia yang berdaulat ini.
Malangnya, ada pula dalam kalangan rakyat mempersoalkan siasatan dan mengatakan tindakan polis sebagai terlalu keras.
Mula tular di media sosial rintihan bersemosi segelintir masyarakat yang dilihat seolah-olah meremehkan insiden salah pamer Jalur Gemilang. Ada yang mengatakan kononnya kerana tindakan tegas terhadap insiden kedai perkakas tersebut, maka ramai rakyat enggan mengibarkan bendera Malaysia.
Mereka menghujahkan kononnya takut dengan kecaman dan tindakan pihak berkuasa jika dengan tidak sengaja tersalah pamer Jalur Gemilang.
Jelas, hujah yang dikemukakan bersifat paradoks dan hanya menyerlahkan kekeliruan serta ketidakpedulian terhadap nilai jati diri kebangsaan. Sikap yang ditunjukkan seolah-olah tiada rasa kasih terhadap negara, apatah lagi penghargaan terhadap identiti Malaysia. Golongan seperti ini sepatutnya kembali mendalami asas tatanegara dan memahami tanggungjawab sebagai warganegara yang bertanggungjawab.
Kesetian kepada raja dan negara bukan hanya direalisasikan melalui kibaran bendera pada bulan kemerdekaan semata-mata. Sebaliknya setiap tingkah laku yang mendedahkan risiko kedaulatan negara sebetulnya melanggar sumpah setia ini.
Sebagai contoh, minggu ini dua orang anggota Jabatan Imigresen yang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah membabitkan kira- kira RM400,000 sejak 2022 hingga 2024.
Minggu lalu, lima pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ditahan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki bersubahat dalam sindiket penyeludupan di selatan tanah air.
Dikhabarkan siasatan di bawah Op Sohor mendapati terdapat barang seludup seperti dadah dan rokok, yang dibawa masuk dari negara jiran membabitkan nilai barangan kira-kira RM5 juta sebulan.
Adakah pegawai perkhidmatan awam yang diamanahkan untuk menjaga sempadan dan kedaulatan tidak tahu tentang tingkah laku yang boleh mencemar keselamatan negara?
Timbul persoalan apabila pegawai tertinggi dalam ATM, yang setiap hari mengenakan lencana Jalur Gemilang pada pakaian mengambil risiko yang boleh menggugat keselamatan negara. Ironinya, simbol kesetiaan yang terpampang di dada tidak selari dengan tindakan dilakukan.
Mungkin mereka juga patut dikembalikan ke bangku sekolah untuk diajar semula erti kesetiaan kepada negara.
KEPERLUAN SILIBUS TATANEGARA
Pada Januari lalu, Menteri Pendidikan mengumumkan penggarapan Pelan Pendidikan Masa Depan Malaysia 2026 – 2036 yang diadakan bagi memperkenalkan pelbagai pembaharuan untuk meningkatkan kualiti, kebolehcapaian dan kerelevanan pendidikan kepada semua pelajar di Malaysia.
Selain melihat kepada perkembangan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP), pelan tersebut turut digarap untuk menangani cabaran seperti buli dan isu kesihatan mental dalam kalangan pelajar dan pendidik.
Melihat onar rakyat Malaysia yang mencemar negara ini, sewajarnya pelan ini memasukkan juga penekanan khusus agar elemen tatanegara disemat rapi ke dalam silibus yang diajarkan kepada anak-anak. Keperluan agar tatanegara dijadikan fokus utama dalam silibus kebangsaan semakin mustahak dan mendesak.
Amat mendukacitakan apabila selepas 62 tahun pembentukan negara bangsa, masih ada dalam kalangan rakyat yang belum menyedari tanggungjawab dan amanah mereka terhadap negara.
Malaysia tidak mungkin akan kekal aman, sentosa dan selamat untuk 33 juta orang rakyat negara ini jika kita tidak melihat peri penting pengorbanan ego, diri dan wang ringgit untuk Malaysia.-UTUSAN
PENULIS ialah pengamal undang-undang, Naib Presiden II Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) dan Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA).










