Kerajaan pertimbang tubuh Kementerian Undang-Undang

Kerajaan pertimbang tubuh Kementerian Undang-Undang

ANWAR Ibrahim (enam kiri) menyaksikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said (lima kiri) menyerahkan Kenyataan Bersama Mengenai Penerimaan dan Pengesahan Terhadap Pembangunan Timbang Tara dan Mediasi Komersial Antarabangsa oleh Menteri-Menteri Undang-Undang ASEAN kepada Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn (enam kanan) pada Forum Undang-Undang ASEAN 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mempertimbang untuk menubuhkan sebuah Kementerian Undang-Undang khusus bagi memastikan ekosistem perundangan negara lebih tersusun dan bersepadu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu akan membolehkan Malaysia berinteraksi dengan lebih komrehensif dengan rakan serantau dalam usaha memajukan kedaulatan undang-undang, khususnya dengan negara anggota ASEAN.

“Dengan menyelaraskan diri kepada amalan terbaik jiran kita, Malaysia akan berada pada kedudukan lebih kukuh untuk membentuk sebuah tertib serantau yang lebih adil dan responsif,” katanya ketika berucap pada Forum Undang-Undang ASEAN 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.

Forum kali ini mengangkat tema ‘Meningkatkan Akses kepada Keadilan dalam Komuniti Ekonomi ASEAN: Merapatkan Kerjasama Undang-Undang untuk Pertumbuhan Inklusif dalam Era Digital’. 

Tambah Anwar, dalam semangat pembaharuan ini, ASEAN juga mesti terus melabur dalam bantuan perundangan bersama, memperkukuh mekanisme penyelesaian pertikaian, dan menghadapi cabaran baharu dalam tadbir urus digital serta pengawalseliaan kecerdasan buatan (AI). 

“Ini bukanlah reformasi abstrak, tetapi tindakan membina kepercayaan, memastikan ASEAN kekal relevan dan berdaya tahan dalam dunia yang cepat berubah,” ujarnya. 

Anwar berkata keterangkuman bermaksud undang-undang mesti berkhidmat kepada setiap individu, setiap komuniti, dan setiap generasi kerana keadilan tidak memadai wujud hanya sebagai prinsip, ia mesti dirasai dalam kehidupan rakyat kita. 

“Undang-undang mesti memperkasa dan melindungi, bukannya menakut-nakutkan atau mengecualikan. Kelestarian pula bermaksud membina sistem dan institusi perundangan yang mampu bertahan dalam ujian masa. 

“Kekuatan sebenar sesebuah kerajaan tidak terletak pada sejauh mana kuasanya, tetapi pada integriti institusinya, keadilan dalam tadbir urus, dan kepercayaan yang diperoleh daripada rakyatnya,” katanya. 

Sementara itu, Anwar berkata, ketegangan di sempadan Thailand dan Kemboja yang kembali reda apabila kedua-dua pihak bersetuju mengadakan genjatan senjata membuktikan kejayaan Malaysia sebagai pengantara. 

Beliau berkata, ini bukan sahaja kejayaan diplomasi, tetapi juga peringatan bahawa meskipun dalam saat-saat genting, ASEAN mampu mengatasi perpecahan dan menegaskan peranannya sebagai penjaga keamanan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×