Keadilan untuk Zara Qairina bermula

Keadilan untuk Zara Qairina bermula

ZARA QAIRINA MAHATHIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Proses mencari keadilan untuk Allahyarham Zara Qairina Mahathir, 13, bermula semalam apabila lima remaja perem­puan dihadapkan ke Mahkamah Kanak-Kanak di sini atas pertuduhan menggunakan perka­taan mencela terhadap mangsa, bulan lalu.

Kesemua tertuduh yang ber­usia bawah 18 tahun menga­­ku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Elsie Primus.

Identiti mereka tidak didedahkan selaras peruntukan Akta Kanak-Kanak 2001.

Memuatkan artikel berkaitan…

Berdasarkan pertuduhan, ke­lima-lima pelajar itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di Asrama Rabiatul Adawiyah Dorm A-3-6, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar antara pukul 10 malam hingga 11 malam pada 15 Julai 2025.

Mereka dituduh menggunakan perkataan mencela yang di­­dengar oleh Zara Qairina dan ber­kemungkinan menimbulkan gangguan emosi kepada mangsa.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman pen­­jara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad berkata, setiap tertuduh dibenarkan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dengan RM1,000 sebagai deposit, manakala mah­kamah me­netapkan 25 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Salah seorang tertuduh diwakili Datuk Ram Singh, Joan Goh dan Prem Elmer Ganasan manakala empat lagi diwakili peguam, Azhier Farhan Arisin, Abdul Fikry Jaafar Abdullah, Farah Nazriah Chun Lee, Fareez Salleh dan Sylyester Kuan.

Sementara itu, peguam keluarga Allahyarham, Hamid Ismail berkata, pihaknya tidak dapat mengulas prosi­ding berkenaan kerana terdapat perintah larangan (gag order) mengikut Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001.

Sebarang perkembangan lanjut hanya akan dijawab melalui kenyataan Jabatan Peguam Negara (AGC).

“Untuk perkara lain, kami boleh jawab, tetapi bagi prosiding ini, ia terikat dengan Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak. Bukannya sebab VVIP atau disuruh sesiapa. Itu undang-undang Malaysia, jadi jangan salah sangka,” katanya.

Pihaknya memfailkan permohonan untuk menjadi pihak berkepentingan (interest party) dalam prosiding inkues yang dijadual bermula 3 September ini bagi menyiasat punca kematian Zara Qairina.

Kelmarin, AGC memaklumkan pendakwaan terhadap lima remaja itu hanya berkaitan kes buli dan tidak mempunyai kaitan dengan kematian pelajar berkenaan.

Setakat ini, ­pertuduhan ha­nya dikemukakan ter­ha­dap suspek kes buli, mana­kala in­kues dijalankan bagi memboleh­kan pihak ber­kepentingan mengetahui punca dan sebab kematian mang­sa.

AGC menegaskan pendakwaan terhadap suspek tidak menjejaskan siasatan polis atau prosiding inkues.

Sebelum ini, Hakim Mah­kamah Koroner Kota Kinabalu menetapkan 3 September ini untuk memulakan prosiding in­kues bagi menyiasat punca kematian Zara Qairina selari dengan usaha memastikan keadilan dan ketelusan dalam menangani kes berprofil tinggi ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×