Dahulu, budaya buli hanya berlaku di sekolah sama ada di koridor, padang atau belakang bangunan.
Tetapi kini, ia telah melangkah jauh ke dunia maya.
Dari ruang sembang, media sosial hinggalah ke platform permainan dalam talian, buli kini boleh berlaku di mana-mana dan bila-bila masa.
Ia bukan sahaja sukar dielak, malah boleh berlaku secara terbuka dan berterusan.
Pakar Psikologi Klinikal Hospital Pakar Ampang Puteri, Ummu Nazra Nadzam berkata, peningkatan kes buli berkait rapat dengan peningkatan risiko bunuh diri dalam kalangan remaja di Malaysia.
“Berdasarkan kajian yang dijalankan kepada lebih 800 remaja pada 2022, dua faktor yang menyumbang kepada tekanan emosi mereka ialah buli siber dan fenomena takut ketinggalan (fomo) daripada pengalaman sosial yang dianggap menyeronokkan.
“Remaja hari ini terlalu terdedah kepada tekanan untuk berada dalam kelompok. Demi diterima rakan sebaya, ada yang sanggup menyertai tingkah laku membuli.
“Bagi mereka, menjadi pembuli lebih selamat daripada menjadi mangsa. Lebih membimbangkan, media sosial menguatkan budaya ini. Perbuatan buli semakin dianggap normal apabila ia sering dipertonton dan mendapat perhatian ramai,” katanya.

Kesan buli tidak tamat selepas kejadian berlaku. Ramai remaja membawa luka emosi yang dalam seperti perasaan terpinggir, dipulau dan tidak dihargai.
Ini membawa kepada rasa malu, takut untuk mendapatkan bantuan dan akhirnya mendorong kepada perbuatan mencederakan diri atau keinginan untuk menamatkan hidup.
Berbeza dengan dahulu, remaja hari ini tidak lagi mempunyai ruang selamat.
Jika dahulu rumah adalah tempat perlindungan selepas hari persekolahan yang mencabar, kini buli ‘mengikut’ mereka pulang ke rumah melalui mesej, komen media sosial dan aplikasi permainan.
“Laporan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2022 memberikan amaran keras kepada kita semua. Sebanyak 13.1 peratus remaja berusia antara 13 hingga 17 tahun pernah berfikir untuk membunuh diri manakala 10 peratus pernah merancang melakukannya.
“Selain itu, 9.5 peratus sudah pun mencuba, manakala 26.9 peratus menunjukkan simptom kemurungan,” ujarnya.
LONJAKAN KES BULI
Kes buli di sekolah menunjukkan lonjakan ketara.
Kementerian Pendidikan merekodkan sebanyak 6,208 kes dari Januari hingga Oktober 2024 berbanding 4,994 kes dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) turut menerima lebih 8,000 aduan berkaitan buli siber dalam tempoh 11 bulan pertama 2024.
Ini bermakna, secara purata terdapat 27 kes dilaporkan setiap hari.
Lebih mengejutkan, hampir 9,000 hantaran yang dianggap memudaratkan di media sosial telah dipadam sepanjang tahun tersebut. Ia lima kali ganda lebih banyak berbanding tahun sebelumnya.
Ini jelas menunjukkan buli bukan lagi isu kecil, tetapi satu krisis sosial yang semakin meruncing.
Ummu Nazra berkata, ibu bapa perlu lebih peka terhadap tingkah laku anak-anak dan cara mereka menggunakan teknologi.
“Galak perbualan terbuka tentang tekanan rakan sebaya dan bahaya buli siber. Simpan bukti buli dan laporkan seawal mungkin.
“Pihak sekolah pula perlu lebih tegas dan sistematik dalam menangani isu ini. Polisi anti-buli yang menyeluruh perlu diwujudkan dan pendidikan digital serta kesedaran tentang tekanan sosial mesti dijadikan sebahagian daripada kurikulum.
“Ibu bapa juga wajar dilibatkan melalui bengkel atau seminar agar wujud keselarasan antara rumah dan sekolah,” sarannya.
Selain itu, pusat kesihatan dan klinik pula perlu dijadikan saringan untuk penglibatan dalam buli sama ada sebagai mangsa atau pembuli sebagai sebahagian daripada penilaian kesihatan mental.
Rawatan yang disediakan pula harus memfokus kepada membina daya tahan, kemahiran sosial dan hubungan sihat antara remaja.
“Kita tidak boleh lagi memandang remeh isu buli. Ia bukan fasa biasa dalam kehidupan remaja yang akan hilang dengan sendirinya. Ia adalah amaran yang generasi muda kini berdepan dengan tekanan yang tidak pernah kita alami.
“Kita perlu bertindak demi memastikan anak-anak selamat dan sihat dari segi emosi, sosial serta mental.
“Jika anda bimbang tentang kesihatan mental anak anda, hubungi Perkhidmatan Psikologi & Kesihatan Mental di Hospital Pakar Ampang Puteri untuk sesi konsultasi sulit dan pelan rawatan bersesuaian,” jelasnya.
PETANDA AWAL REMAJA KEMURUNGAN
Remaja berusia antara 13 hingga 17 tahun adalah kelompok yang sering dianggap sihat dan bertenaga.
Namun realitinya, golongan ini juga sangat terdedah kepada pelbagai tekanan mental dan emosi yang boleh membawa kepada kemurungan yang merupakan masalah kesihatan mental yang semakin meruncing di Malaysia.
Menurut NHMS 2017, satu daripada lima remaja Malaysia mengalami kemurungan.
Dua daripada lima pula menghidap keresahan dan seorang daripada 10 mengaku mengalami tekanan melampau.
Malah, 10 peratus daripada 5.5 juta remaja di negara ini pernah terfikir untuk membunuh diri. Angka ini sangat membimbangkan.

Pakar Psikiatri Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri, Dr. Azhar Md. Zain berkata, usia remaja adalah tempoh peralihan yang penuh cabaran.
Ketika badan berubah secara fizikal, mereka juga mula menghadapi tekanan rakan sebaya dan keinginan untuk diterima dalam masyarakat.
Sesetengah remaja mahu menyesuaikan diri, manakala yang lain mahu menonjol. Ini boleh menyebabkan konflik dalaman yang seterusnya mencetuskan kemurungan jika tidak ditangani.
“Kemurungan remaja dari sudut perubatan tidak banyak bezanya dengan dewasa.
“Namun, struktur otak remaja dan tahap hormon mereka berbeza, menjadikan kesannya lebih kompleks. Ketidakseimbangan bahan kimia otak seperti serotonin, dopamin dan norepinefrin memainkan peranan penting dalam mengawal emosi dan tingkah laku. Tahap yang rendah boleh menyumbang kepada kemurungan,” katanya.
Lebih membimbangkan, kemurungan mencetuskan tekanan yang tinggi, gangguan keresahan dan dalam kes yang paling serius, percubaan membunuh diri.
Ia juga boleh memberi kesan kepada prestasi di sekolah, hubungan sosial, dan kesejahteraan dalam keluarga.
KESAN MEDIA SOSIAL, TELEFON PINTAR
Hari ini, remaja tidak dapat dipisahkan daripada telefon pintar.
Menurut NHMS 2017, enam daripada tujuh pelajar sekolah menengah adalah pengguna internet aktif.
Daripada jumlah ini, dua daripada mereka mengalami ketagihan, dan pelajar tingkatan lima menunjukkan kadar tertinggi sebanyak 38 peratus.
Kajian juga menunjukkan penggunaan media sosial yang tinggi berkait rapat dengan peningkatan kemurungan, terutama dalam kalangan remaja perempuan.
Mereka lebih cenderung menggunakan media sosial untuk berinteraksi, memberi dan menerima komen serta membandingkan diri dengan orang lain.
Ini boleh merosakkan harga diri dan meningkatkan perasaan tidak berharga.
“Tanda-tanda kemurungan dalam kalangan remaja ialah kerap bersedih tanpa sebab yang jelas, termasuk menangis secara tiba-tiba.
“Mudah marah atau rasa kecewa yang melampau, walaupun terhadap perkara kecil. Rasa tidak bermakna, tidak berguna atau hilang harapan.
“Mereka juga hilang minat terhadap hobi atau aktiviti yang biasa disukai, menjauhkan diri daripada keluarga dan rakan-rakan dan kelakuan berisiko atau menyakiti diri sendiri,” katanya.
Kemurungan tidak berlaku tanpa sebab. Ia boleh berpunca daripada pelbagai faktor, antaranya sejarah keluarga yang mengalami gangguan mental, trauma zaman kanak-kanak serta persekitaran rumah yang toksik atau ganas.
Selain itu, akibat dibuli di sekolah atau media sosial, masalah bentuk badan, obesiti, tekanan rakan sebaya dan pelbagai lagi.
Azhar berkata, ibu bapa memainkan peranan penting dalam mengesan dan mencegah kemurungan anak-anak.
“Sentiasa berbual dengan anak dan wujudkan komunikasi dua hala yang sihat. Perhatikan sebarang perubahan tingkah laku atau emosi, walaupun kecil
“Hadkan dan pantau penggunaan gajet serta media sosial.
“Dapatkan bantuan profesional jika simptom kemurungan berlarutan lebih dua minggu,” ujarnya.
Rawatan untuk kemurungan remaja melibatkan kombinasi ubat-ubatan dan terapi psikologi seperti terapi tingkah laku kognitif (CBT) atau terapi interpersonal (IPT).
Terapi ini membantu remaja mengenal pasti corak pemikiran negatif dan menggantikannya dengan strategi pemikiran lebih sihat.
Kemurungan bukan sekadar rasa sedih biasa. Ia adalah gangguan kesihatan mental yang serius dan boleh dirawat jika dikesan awal.
Ibu bapa, guru dan masyarakat perlu lebih peka terhadap tanda-tanda kemurungan dalam kalangan remaja.











