Zelensky hadiahkan Trump kayu golf milik veteran perang Ukraine

Zelensky hadiahkan Trump kayu golf milik veteran perang Ukraine

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy menghadiahkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sebatang kayu golf milik seorang anggota tentera yang cedera ketika mempertahankan negara itu daripada pencerobohan Russia.

Hadiah ‘istimewa’ itu diberikan semasa lawatan beliau ke Washington pada Isnin lalu.

Menurut Pejabat Presiden Ukraine, Trump yang dikenali sebagai peminat tegar sukan golf dan memiliki beberapa padang golf di AS menerima hadiah itu dengan penuh penghargaan sebelum membalas dengan menyerahkan ‘kunci simbolik’ Rumah Putih kepada Zelensky.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pertukaran hadiah itu menandakan perubahan besar dalam hubungan kedua-dua pemimpin selepas pertemuan tegang pada Februari lalu menyaksikan Zelensky meninggalkan White House lebih awal ekoran pertengkaran yang disiarkan secara langsung dengan Trump dan Naib Presiden, JD Vance.

Sejak itu, Zelensky giat memulihkan hubungan dengan Trump melalui pujian terbuka serta sokongan terhadap usaha Presiden AS itu untuk membawa keamanan.

Kayu golf yang diserahkan Zelensky itu dimiliki oleh Kostiantyn Kartavtsev, seorang tentera Ukraine yang kehilangan sebelah kaki ketika menyelamatkan rakan seperjuangannya pada bulan pertama pencerobohan Russia.

Trump turut ditunjukkan rakaman video Kartavtsev sebelum mengucapkan penghargaan kepadanya.

Dalam video berkenaan yang disiarkan organisasi veteran Ukraine, United by Golf, Trump memuji semangat Kartavtsev.

“Saya baru sahaja menonton hayunan anda, ia hebat. Anda seorang yang luar biasa, teruskan bermain golf dan lakukan perkara lain. Negara anda hebat, kami cuba membantu memulihkannya,” katanya.

Selain itu, Zelensky turut menyerahkan sepucuk surat daripada isterinya, Olena Zelenska, kepada Wanita Pertama AS, Melania Trump bagi mengucapkan terima kasih kerana pernah menulis kepada Presiden Russia, Vladimir Putin untuk mendesak agar nyawa kanak-kanak diselamatkan.

Difahamkan, pemberian hadiah kepada Trump kini menjadi satu cara pemimpin dunia memikat hati beliau ketika lawatan rasmi di mana pada Februari lalu, Perdana Menteri Britain, Keir Starmer menghadiahkan jemputan lawatan rasmi bersama sepucuk surat ditandatangani Raja Charles III. -AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×