PETALING JAYA: Pakar Patologi yang mendakwa dirinya terlibat dalam proses bedah siasat kematian Zara Qairina Mahathir telah dikenal pasti dan diambil keterangan semalam.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kenyataannya berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengesahkan bahawa individu yang menyamar di sebalik akaun TikTok ‘Dato’ Prof Dr. Tunku Iskandar’ bukan seorang pakar patologi.
“Suspek dikesan berdekatan kawasan Kota Damansara lewat malam semalam hasil maklumat daripada rakaman keterangan dua individu yang turut bersama dalam ‘TikTok Live’ akaun berkenaan.
“Suspek kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk proses rakaman keterangan. Peralatan komunikasi miliknya turut dirampas bagi tujuan analisis siasatan lanjut,” katanya.
MCMC turut menegaskan bahawa penyebaran maklumat palsu melibatkan isu sensitif berkaitan kematian, tragedi atau mangsa nahas adalah satu kesalahan serius yang boleh menyinggung perasaan keluarga, mengelirukan masyarakat serta mengganggu proses siasatan pihak berkuasa.
Menurutnya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya.
“Jika disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta 588, pesalah boleh dikenakan denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.
“Kes ini juga turut disiasat oleh pihak Polis Diraja Malaysia di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(B) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta 588,” katanya. – UTUSAN









