HASRAT mengangkat versi bahasa Melayu sebagai naskhah berwibawa untuk Perlembagaan Persekutuan hendaklah disegerakan dalam waktu terdekat. Ini kerana bukan sahaja sudah amat terlambat tetapi sikap acuh tidak acuh kita yang tidak mengambil berat selama ini memberi banyak kesan buruk. Antaranya kepada maruah negara dan rakyat.
Sehubungan maruah, yakni kehormatan, kemegahan dan harga diri negara dan rakyat, versi bahasa Melayu ini antaranya harus dilihat dalam konteks pembinaan negara (state building). Ia merujuk kepada proses mewujud, mengukuh dan memantapkan semua institusi negara bagi tujuan pembangunan setiap satunya untuk jangka panjang.
Politik, ekonomi dan sosial adalah antaranya institusi negara itu. Untuk politik, ia boleh berupa usaha menangani politik domestik bagi tujuan kestabilan negara. Manakala untuk ekonomi, ia boleh bersifat penjanaan pendapatan negara menerusi percukaian. Untuk sosial pula, ia boleh mengambil bentuk pengurusan bahasa negara bagi meletakkannya di tempat yang sewajarnya.
Versi bahasa Melayu setelah menjadi teks sahih untuk Perlembagaan Persekutuan, khususnya dalam konteks pembinaan negara akan mengangkat Malaysia sebagai entiti politik yang benar-benar berdaulat setelah merdeka.
Ini kerana kedaulatan ini bukan sahaja akan betul-betul dirasai dalam negara ini oleh rakyat apabila perundangan tertinggi negara akhirnya sudah diiktiraf dalam bahasa negara kita sendiri.
Juga kedaulatan ini akan ikut dicicip masyarakat dunia yang antaranya pasti mengapresiasi jati diri kita dari sisi identiti nasional untuk negara dan identiti budaya bagi rakyat.
Sesungguhnya versi bahasa Melayu ini adalah hasrat untuk menegakkan keperibadian nasional kita yang teras dan lambangnya wajib diungkapkan dalam bahasa watan kita sendiri untuk semua institusi negara.
Dalam hal ini, sistem perundangan tidak terkecuali. Sebenarnya dengan berlakunya hal ini, khususnya teks dalam bahasa Melayu sudah berupa naskhah berwibawa untuk Perlembagaan Persekutuan kita, kenegaraan (statehood) kita pasti akan menjadi lebih sempurna.
Sehubungan ini, kenegaraan ialah status negara untuk diiktiraf sebagai betul-betul negara merdeka lagi berdaulat.
Dalam hal ini, Malaysia hanya boleh betul-betul mendabik dada sebagai negara merdeka lagi berdaulat hanya apabila semua institusi kenegaraannya dinasionalkan dari segi bahasa. Ini termasuklah sistem perundangannya dikendalikan sepenuhnya dan dengan jayanya pula dalam bahasa Melayu selaku bahasa negara.
Natijahnya ialah sehingga dan selagi versi bahasa Melayu tidak dijadikan naskhah berwibawa untuk Perlembagaan Persekutuan, kenegaraan kita bukan sahaja tidak sempurna. Malah boleh dikatakan ia tiada pun.
Ini kerana walaupun sudah lama merdeka, yakni telah memerintah sendiri untuk sekian lama, kita sebenarnya tidak pun sebegitu mendalam memahami erti sebenarnya pada konsep pemerintahan kendiri (self-governing).
Dalam hal ini, kita masih terkongkong dan terikat dengan entiti politik, budaya dan sosial dan lain-lain, khususnya barat. Ini dapat dilihat dengan jelas pada banyak entiti barat yang terus-menerus mempunyai cengkaman kuat dan pengaruh mendalam ke atas kehidupan kita dalam hampir segenap hal.
Cengkaman dan pengaruh ini adalah akibat fenomena penguasaan budaya. Ia merujuk kepada keadaan satu budaya menguasai yang lain-lain. Dengan ini, budaya kuat itu bukan sahaja mempengaruhi nilai, kepercayaan dan amalan budaya lemah tetapi juga juga mengambil alihnya pada banyak sisi, kalau tidak pun secara keseluruhannya.
Sebenarnya penguasaan budaya di negara ini adalah bikinan kita sendiri. Ini kerana ia tidak pun secara terbuka dipaksakan ke atas kita oleh mana-mana entiti barat itu. Dalam hal ini, ia terjadi kerana fenomena yang dikenali sebagai minda terperangkap (captive mind).
Ia merujuk kepada keadaan yang memperlihat pemikiran kita, sama ada yang sosial mahupun lain-lain, semacam dipenjarakan. Ia sebegitu akibat didominasi oleh pihak lain, antaranya barat, sehingga kita bukan sahaja terbantut malah gagal untuk berfikir secara bebas lagi kritis untuk diri sendiri.
PERKUKUH BAHASA MELAYU
Seperkara lain yang penting dengan menjadikan versi bahasa Melayu sebagai teks sahih untuk Perlembagaan Persekutuan kita, ia sebenarnya ikut mengukuhkan institusi bahasa negara, sama ada dalam peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan atau bahasa rasmi, mahupun kedua-duanya secara sekali gus.
Sebetulnya dalam konteks pembinaan negara, tindakan mengangkat versi bahasa Melayu ini, bukan sahaja amat selari dengan ungkapan keramat ‘Bahasa Jiwa Bangsa’. Juga ia merealisasikan hakikat filsafat kudus yang ada padanya.
Dengan kata lain, hasrat untuk menjadikan versi bahasa Melayu sebagai teks sahih, bukan lagi retorik semata-mata yang kekadangnya dilaungkan dengan penuh semangat kebangsaan. Sebaliknya kini, ia betul-betul berlaku setelah diambil tindakan konkrit.
Peranan pemerintah sangat penting dan utama dalam konteks pembinaan negara dan kenegaraan. Dalam hal ini, pemerintah bukan sahaja mempunyai penuh tanggungjawab, malah yang mutlak dalam melaksanakan dasar bahasa di negara ini. Antaranya Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967.
Dengan ini, apa-apa jua bahasa yang wujud dalam negara ini, kesemuanya, apatah lagi bahasa negara adalah di bawah tanggungan pemerintah. Ini bermakna keberadaan dan juga kelangsungan setiap satunya, adalah akibat dan kesan daripada tindakan pemerintah yang mempengaruhinya secara positif atau yang sebaliknya.
Dalam konteks ini, sama ada sesebuah bahasa itu berkembang maju atau sebaliknya, ia sangat bergantung kepada dukungan kuat dan sokongan padu daripada pemerintah, khususnya dalam kegiatan budaya tinggi. Antara kegiatan ini ialah dalam sektor kuaternari yang menggubal dasar dan perundangan negara dengan menggunakan bahasa negara.
Dengan mengangkat versi bahasa Melayu ini, Malaysia bukan sahaja pasti akan dilihat sebagai sudah bebas, yakni tidak bergantung lagi kepada entiti lain tetapi mempunyai kuasa untuk menentukan destininya sendiri.
Lebih penting daripada ini ialah dengan versi bahasa Melayu menjadi naskhah berwibawa, Perlembagaan Persekutuan kita akan dilihat sebagai betul-betul mempunyai kewibawaan undang-undang. Ini kerana ia tidak akan lagi dilabelkan sebagai hanya terjemahan.
Dengan kata lain, Perlembagaan Persekutuan kita bukan sahaja memiliki kedaulatan kanun, iaitu wibawa undang-undang yang penuh. Lebih penting lagi ialah Malaysia juga akan dilihat sebagai entiti yang memiliki kedaulatan politik, yakni kuasa untuk mengurus negara sendiri.-UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felo Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).










