PUTRAJAYA: Masih terdapat penyedia dan klinik swasta membelakangkan undang-undang dengan mengenakan kadar berbeza-beza sehingga mencecah RM149 terhadap caj ujian calitan dalam hidung (RTK Antigen) walaupun kerajaan menetapkan harga maksimum RM60.
Bayaran tersebut jelas membelakangi harga ditetapkan kerajaan sekali gus klinik-klinik berkenaan boleh disifatkan seperti sedang mengaut untung besar ketika rakyat berdepan kesukaran Covid-19.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, jika ada pihak tidak patuh kepada arahan tersebut, tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 9, Ordinan Darurat.
Katanya, mengikut seksyen itu, mana-mana pihak yang didapati melanggar dan melakukan kesalahan dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM5 juta atau dipenjarakan selama tempoh tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya.
“Apabila Perdana Menteri menandatangani warta ini, bermakna ia berkuat kuasa di bawah Ordinan Darurat, jika ingkar boleh dikenakan tindakan undang-undang kerana tidak mematuhi peraturan.
“Orang ramai boleh membuat aduan jika terdapat pelanggaran kepada peraturan itu dan semakan akan dibuat. Sekiranya aduan itu benar, kertas siasatan akan dibuka,” katanya di sini semalam.
Harga maksimum bagi ujian pengesanan Covid-19 di bawah Ordinan Darurat sudah diwartakan kerajaan berkuat kuasa 17 Mei lalu dengan ditandatangani Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Di bawah pewartaan itu, mana-mana fasiliti kesihatan termasuk swasta tidak boleh mengenakan fi ujian melebihi harga ditetapkan untuk empat jenis ujian pengesanan bagi tujuan menangani jangkitan Covid-19.
Arahan tersebut berkuat kuasa sehingga tamat darurat pada 1 Ogos ini atau apa-apa tempoh lain sebagaimana yang dimasyhurkan Yang di-Pertuan Agong.
Fi maksimum ujian yang ditetapkan itu ialah ujian Tindak Balas Berantai Polimerase (RT-PCR) RM150 bagi Semenanjung, RM200 bagi Sabah/Sarawak/Labuan; ujian Rapid Molecular RM270 (Semenanjung), RM350 (Sabah/Sarawak/Labuan); Ujian Kit Ujian Pantas Antigen (RTK Ag) RM60 (Semenanjung) dan RM80 (Sabah/Sarawak/Labuan) serta Ujian Kit Ujian Pantas Antibodi (RTK Ab) RM50 (Semenanjung) dan RM70 (Sabah/Sarawak/Labuan).
Menurut Adham, pihaknya menerima banyak aduan berkaitan fi ujian pengesanan itu, namun tindakan tidak boleh diambil kerana arahan itu belum diwartakan.
“Sehubungan itu, jika selepas ini wujud pelanggaran peraturan, Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta akan membuat semakan di premis-premis tertentu. Sebelum ini hanya tindakan pencegahan dan teguran dibuat,” katanya. – UTUSAN
INFOGRAFIK
——————-
FI Maksimum Ujian Pengesanan Covid-19
Jenis ujian Semenanjung Malaysia (RM) Sabah/Sarawak/Labuan (RM)
————– ————————————– —————————————–
RT-PCR – (Semenanjung) RM150 (Sabah/Sarawak) RM200
Rapid Molecular – (Semenanjung) RM270 (Sabah/Sarawak) RM350
RTK Ag (Semenanjung) RM60 (Sabah/Sarawak) RM80
RTK Ab (Semenanjung) RM50 (Sabah/Sarawak) RM70











