Ibu Zara harap jaminan PM disusuli tindakan pantas polis

Ibu Zara harap jaminan PM disusuli tindakan pantas polis

SEBAHAGIAN peserta perhimpunan Justice For Zara yang menunjukkan solidariti terhadap kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir di pekarangan pusat beli-belah Sogo, kelmarin. - UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ibu kepada Allahyarham Zara Qairina Mahathir menzahirkan rasa gembira dengan jaminan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa tiada sesiapa yang terbabit dalam kes kematian anaknya akan terlepas daripada siasatan dan tindakan undang-undang.

Peguam keluarga, Hamid Ismail berkata, jaminan itu secara tidak langsung memberi keyakinan dan kelegaan kepada keluarga bahawa siasatan akan dijalankan secara teliti dan menyeluruh.

Menurut beliau, ibu arwah, Noraidah Lamat, berharap jaminan berkenaan akan disusuli dengan tindakan pantas oleh pihak polis khususnya Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

“Ibu Zara juga mengharapkan jaminan tersebut dapat memberi semangat kepada mana-mana individu untuk tampil memberikan maklumat kepada pihak polis atau pasukan peguam berhubung kes kematian anaknya.

“Sehubungan itu, beliau turut memohon agar pihak polis dapat memberi perlindungan sewajarnya kepada mereka yang tampil memberi maklumat,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menegaskan tiada sesiapa yang terbabit dalam kes kematian Zara Qairina akan terlepas daripada siasatan dan tindakan undang-undang.

Beliau berkata, siasatan kes kematian pelajar sekolah agama di Papar itu perlu dijalankan tanpa mempedulikan siapa yang terlibat, selain memberi jaminan bahawa siasatan akan dilakukan secara terperinci tanpa sebarang tuduhan liar.

Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu pada 17 Julai lalu.

Pelajar itu dibawa ke hospital berkenaan selepas ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya pada jam 4 pagi, 16 Julai.

Pada 8 Ogos lalu, Jabatan Peguam Negara (AGC) memaklumkan bahawa kubur Zara Qairina, perlu digali semula bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×