KUCHING: Semua pihak digesa tidak mempolitikkan isu kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, sebaliknya memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara telus dan menyeluruh.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, polis sudah mengambil alih siasatan dan beberapa tindakan susulan sedang dilakukan termasuk bedah siasat forensik serta semakan semula terhadap kelemahan siasatan awal.
“Biarlah siasatan ini berjalan mengikut saluran undang-undang tanpa sebarang tekanan luar atau sentimen yang boleh mengganggu prosesnya.
“Jangan kita ambil kesempatan dengan menyebarkan sentimen yang akhirnya memporak-perandakan negara,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Program Bicara Eksekutif Madani di Institut Aminuddin Baki (IAB) Cawangan Sarawak, hari ini.
Mengulas kempen Justice For Zara yang digerakkan orang ramai, Fadillah menegaskan perkara utama ketika ini adalah mengekalkan keyakinan terhadap sistem keadilan negara untuk memastikan keadilan ditegakkan secara adil dan saksama.
Beliau turut mengingatkan tuduhan tanpa bukti hanya akan menjejaskan kredibiliti proses undang-undang selain menghakis keyakinan terhadap institusi kehakiman serta polis.
“Jika terbukti ada kelemahan atau kecuaian, tindakan sewajarnya perlu diambil. Rakyat juga harus diyakinkan sistem negara mampu menegakkan keadilan apabila diberi peluang melaksanakannya,” katanya.
Pada masa sama, beliau menyeru semua pihak tidak menjadikan isu berkenaan sebagai modal politik atau alat untuk menyemai perpecahan, sebaliknya bersama menuntut keadilan secara bertanggungjawab. – UTUSAN







