NCD punca lebih 70 peratus kematian pramatang

NCD punca lebih 70 peratus kematian pramatang

DZULKEFLY AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GOMBAK: Lebih 70 peratus kematian pramatang di Malaysia berpunca daripada penyakit tidak berjangkit (NCD) termasuk obesiti, diabetes, strok, kanser dan penyakit jantung.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, situasi itu amat membimbangkan kerana selain meragut nyawa secara perlahan, NCD turut melemahkan produktiviti negara.

Katanya, pandemik NCD itu berbeza dengan COVID-19 kerana ia tidak berlaku secara mendadak, namun boleh menyebabkan kematian secara berterusan sekali gus melemahkan produktiviti negara.

“Kita baru sahaja melalui pandemik COVID-19. Tetapi kini kita sedang berdepan pula dengan satu lagi pandemik iaitu pandemic of NCDs atau pandemik penyakit tidak berjangkit.

“Bezanya, pandemik ini tidak berlaku secara tiba-tiba. Impaknya dibina selama berdekad, meragut nyawa secara perlahan tetapi berterusan dan akhirnya melemahkan produktiviti negara,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Pelancaran Roczen Universal di Rail and River Event Space di sini hari ini.

Dzulkefly berkata, kerjasama strategik antara Kementerian Kesihatan (KKM) dan Reset Health melalui program Roczen Universal merupakan langkah penting dalam usaha menangani cabaran NCD di negara ini.

Katanya, platform digital menyeluruh itu bukan sahaja memberi sokongan kepada individu, malah mengangkat peranan keluarga dan komuniti sebagai asas perubahan gaya hidup sihat.

“Memorandum kerjasama (MoC) itu telah dimeterai pada September 2024 dengan memilih Gombak sebagai lokasi perintis melibatkan sembilan komuniti di bawah program Komuniti Sihat Perkasa Negara (KOSPEN) termasuk Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

“Bermula bulan ini, antara 1,000 hingga 2,000 peserta berlebihan berat badan atau obes disasarkan menyertai kumpulan penilaian program berkenaan,” katanya.

Tambah beliau, tema Healthy Parents, Healthy Children yang diperkenalkan menerusi program itu turut menekankan bahawa kesihatan ibu bapa menjadi asas kepada kelahiran anak-anak yang sihat.

“Ini bukan sahaja usaha menurunkan berat badan tetapi menyelamatkan nyawa dan memastikan generasi akan datang mewarisi Malaysia yang sihat, produktif dan sejahtera,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×