YANGON: Penyelidik Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) merekodkan penyeksaan secara sistematik di kem tahanan yang dikendalikan tentera Myanmar, termasuk memukul, kejutan elektrik dan rogol beramai-ramai.
Myanmar terjerumus dalam perang saudara sejak tentera merampas kuasa daripada kerajaan awam pada 2021, dengan pasukan tentera berperang menentang kumpulan gerila pro-demokrasi dan pelbagai kumpulan bersenjata etnik.
Pertempuran itu disertai tindakan keras yang menyaksikan hampir 30,000 orang ditangkap, menurut kumpulan pemantau Assistance Association for Political Prisoners.
Laporan oleh Mekanisme Penyiasatan Bebas PBB untuk Myanmar (IIMM) menyatakan pihaknya mengenal pasti pencabulan serius semasa soal siasat dan di kem tahanan.
Jurucakap junta tidak dapat dihubungi untuk mengulas dakwaan yang terkandung dalam laporan tahunan IIMM yang dikeluarkan pada Selasa berdasarkan keterangan hampir 600 saksi.
Laporan itu menyebut berlaku pelaksanaan penyeksaan secara sistematik termasuk perhambaan seksual, pembakaran bahagian kemaluan menggunakan rokok atau objek panas dan mencabut kuku dengan playar.
Penyiasatan turut menemui bukti bahawa kanak-kanak berusia antara dua hingga 17 tahun telah ditahan, sering kali sebagai pengganti ibu bapa mereka.
“Sebahagian kanak-kanak yang ditahan telah menjadi mangsa penyeksaan, layanan buruk atau jenayah berasaskan seksual dan jantina,” tambah laporan itu.
Ketua IIMM, Nicholas Koumjian berkata pihaknya melihat peningkatan berterusan dalam kekerapan kekejaman namun telah berjaya mengenal pasti pelaku.
“Kami sedang berusaha menuju hari di mana pelaku akan dipaksa menjawab tindakan mereka di mahkamah,” katanya.
Ketua Pendakwa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) sebelum ini telah memohon waran tangkap terhadap ketua junta, Min Aung Hlaing yang menggulingkan dan memenjarakan pemimpin dipilih rakyat, Aung San Suu Kyi.
Permohonan waran itu berkaitan dakwaan kekejaman tentera terhadap minoriti Rohingya pada 2017.
Semua pihak yang terlibat dalam perang saudara di Myanmar turut dituduh melakukan jenayah perang, dan laporan IIMM menyatakan pihaknya juga mengenal pasti kes di mana kumpulan pembangkang melakukan hukuman mati segera terhadap tawanan.-AGENSI










