KUALA LUMPUR: Kekayaan terkumpul rakyat Malaysia mencatatkan peningkatan yang pantas, dengan kecairan aset berkembang pada kadar tahunan sebanyak 5.4 peratus.
Ketua Negara Kekayaan Antarabangsa dan Perbankan Premier HSBC Malaysia, Linda Yip berkata, kadar pertumbuhan itu dijangka berterusan sekurang-kurangnya sehingga 2029, manakala individu yang memiliki kekayaan bernilai AS$250,000 diramalkan berganda dalam tempoh 10 tahun.
“Dalam tempoh empat tahun akan datang, aset cair akan terus berkembang pada kadar 5.4 peratus setahun.
“Trend ini membuktikan bahawa semakin ramai rakyat Malaysia mencapai tahap kewangan yang kukuh dalam tempoh yang lebih singkat.
“Ini adalah gambaran jelas bahawa masyarakat Malaysia semakin berkemampuan, dan pengumpulan kekayaan berlaku pada kadar yang lebih cepat,” katanya kepada media selepas pelancaran HSBC Premier serba baharu di sini, semalam.
Menurut kajian Kualiti Kehidupan HSBC, portfolio pelaburan golongan mewah Malaysia terdiri daripada 78 peratus bon pendapatan tetap dan ekuiti, manakala hanya 22 peratus dalam bentuk tunai.
Sebanyak 51 peratus menyatakan simpanan untuk percutian sebagai matlamat kewangan utama, manakala 48 peratus mengutamakan kesihatan badan dan minda.
Dalam pada itu, HSBC Malaysia turut mengambil pendekatan berbeza berbanding bank-bank lain dengan menawarkan perkhidmatan melebihi urusan kewangan semata-mata.
“Kami percaya kekayaan tidak lengkap tanpa kesihatan.
“Oleh itu, selain mengurus portfolio kewangan, kami juga memberi tumpuan kepada kesejahteraan pelanggan,” katanya.
Yip berkata, berdasarkan data yang dikumpul HSBC, ramai rakyat Malaysia kini menabung bukan sahaja untuk simpanan atau pelaburan tradisional, tetapi juga bagi tujuan pelancongan.
Dalam pada itu, tinjauan terbaharu HSBC menunjukkan pelancongan menjadi matlamat kewangan yang semakin ketara dalam kalangan pelanggan berkemampuan.
“Pelanggan bukan sekadar mahu menambah nilai aset, mereka juga ingin menikmati pengalaman hidup yang lebih bermakna. Pelancongan menjadi antara cara utama untuk merealisasikan impian itu,” katanya.
Selain itu, HSBC Malaysia turut menyediakan perkhidmatan yang memudahkan pelanggan berurusan merentas sempadan, termasuk bagi mereka yang menghantar anak melanjutkan pelajaran di luar negara.
“Kami mempunyai rangkaian global yang membolehkan pelanggan terus berurusan dengan mudah walaupun berada di luar negara. Ini memberikan ketenangan fikiran kepada ibu bapa dan keluarga,” katanya.
HSBC Premier baharu itu dibangunkan berteraskan empat tunggak iaitu kekayaan, kesihatan, kembara dan antarabangsa, merangkumi pelbagai penawaran pelaburan, perlindungan insurans, manfaat kesihatan, ganjaran perjalanan serta kemudahan perbankan global tanpa sempadan. – UTUSAN










