PETALING JAYA: Mah Sing Group Berhad menggesa kerajaan supaya memperkenalkan insentif perumahan yang lebih kukuh dalam Belanjawan 2026 termasuk pusingan baharu Kempen Pemilikan Rumah (HOC 3.0), pelepasan cukai yang lebih besar dan mempercepatkan pelaksanaan Skim Deposit Madani.
Pengasas merangkap Pengarah Urusan Kumpulan, Tan Sri Leong Hoy Kum berkata, ketidaktentuan ekonomi global, ketegangan perdagangan, inflasi dan kos sara hidup yang tinggi menjadikan pemilikan hartanah semakin sukar, terutamanya bagi golongan pembeli muda.
Katanya, walaupun berdepan cabaran, permintaan terhadap rumah mampu milik kekal tinggi kerana hartanah masih dianggap sebagai pelaburan jangka panjang yang stabil dan perlindungan berkesan terhadap inflasi.
“Permintaan untuk rumah pada harga mampu milik kekal kukuh memandangkan hartanah kekal dilihat sebagai pelaburan jangka panjang, stabil dan lindung nilai yang boleh dipercayai terhadap inflasi,” katanya dalam kenyataan.
Hoy Kum berharap kerajaan dapat melancarkan HOC 3.0 mulai 1 Januari 2026 dan seterusnya dengan menggabungkan langkah-langkah yang berkesan dalam rangka kerja HOC 2019 dan 2020, memandangkan HOC 2.0 semasa akan tamat pada 31 Disember 2025.
Beliau berkata, langkah-langkah yang memberi kesan termasuk pengecualian duti setem 100 peratus ke atas memorandum pemindahan (MOT) dan perjanjian pinjaman untuk hartanah berharga sehingga RM1 juta untuk pembeli rumah kali pertama.
“Pada masa ini, pengecualian duti setem 100 peratus ke atas kedua-dua MOT dan perjanjian pinjaman hanya terpakai untuk pembeli rumah kali pertama yang membeli hartanah berharga sehingga RM500,000.
“Kami mencadangkan pemaju hartanah yang berdaftar di bawah HOC menawarkan sekurang-kurangnya 10 peratus diskaun ke atas harga jualan berdasarkan penilaian hartanah (untuk hartanah berharga RM300,000 hingga RM1 juta) untuk pembeli rumah kali pertama
“Langkah lain termasuk pelepasan cukai, mengekalkan Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) dan kadar gadai janji keutamaan untuk pembeli rumah kali pertama,” ujarnya.
Sementara itu, beliau juga mencadangkan kerajaan meningkatkan pelepasan cukai semasa ke atas faedah gadai janji kepada RM10,000 setahun untuk tempoh tiga hingga lima tahun dan melanjutkannya kepada hartanah berharga sehingga RM1 juta.
“Ini menandakan peningkatan ke atas pelepasan cukai semasa iaitu sehingga RM7,000 dan dihadkan oleh ambang harga hartanah.
“Peningkatan sedemikian meringankan beban kewangan kepada pemilik rumah baru dan menggalakkan pemilikan rumah dalam kalangan rakyat Malaysia,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau memohon kerajaan mempercepatkan pelaksanaan Skim Deposit Madani iaitu subsidi sehingga RM30,000 diperuntukkan untuk pembeli rumah berumur 21 hingga 40 tahun, termasuk pekerja dalam ekonomi gig untuk hartanah berharga sehingga RM500,000.
“Memandangkan struktur pelaksanaannya masih belum didedahkan, kami menggesa kerajaan untuk mempercepatkan pelaksanaannya. Kami mencadangkan agar dana tersebut disalurkan terus ke dalam akaun pinjaman perumahan atau digunakan sebagai sebahagian daripada bayaran muka,” jelasnya. – UTUSAN










