BERMULA 1 Februari 2025, kadar gaji minimum pekerja dinaikkan daripada RM1,500 kepada RM1,700. Perintah Gaji Minimum (PGM) baharu ini ditetapkan kepada majikan yang menggajikan lima orang pekerja atau lebih serta majikan menjalankan suatu aktiviti profesional, tanpa mengambil kira bilangan pekerja yang digajikan oleh majikan berkenaan.
Pihak kerajaan memutuskan penangguhan kuat kuasa gaji minimum RM1,700 membabitkan majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja bagi tempoh enam bulan berkuat kuasa pada 1 Ogos 2025 bagi memastikan majikan diberi tempoh mencukupi untuk melakukan penyesuaian dalam struktur gaji dan operasi syarikat masing-masing.
Keputusan untuk menaikkan kadar gaji minimum ini dapat memastikan setiap pekerja dalam negara kita dapat menikmati kehidupan yang selesa serta dapat menampung peningkatan kos sara hidup dan suasana ekonomi yang semakin mencabar.
Namun, pihak kerajaan perlu melakukan proses pemantauan yang ketat terhadap proses pelaksanaan kadar gaji minimum baharu ini.
Ini adalah amat penting bagi memastikan tiada majikan yang ingkar untuk melaksanakan kadar gaji minimum berkenaan dan tiada pekerja yang dinafikan hak mereka untuk menerima gaji minimum selaras dengan pengumuman yang telah dilakukan oleh pihak kerajaan melalui proses pembentangan Belanjawan 2025 yang lalu.
Terdapat pelbagai isu yang melibatkan pelaksanaan PGM dalam negara kita sebelum ini di mana ada sesetengah pekerja yang mengadu majikan mereka masih belum sudi untuk melaksanakan PGM serta aduan daripada pekerja berhubung tindakan sesetengah pihak majikan yang memotong elaun dan pengurangan faedah sedia ada bagi mengurangkan kos kenaikan gaji minimum baharu.
Semua isu berbangkit ini perlu dipandang serius dan disiasat dengan segera bagi mengelakkan timbulnya masalah lain serta mencetuskan kekeliruan orang ramai khususnya dalam kalangan para pekerja yang sedang hadapi masalah kewangan akibat daripada kenaikan kos sara hidup yang berlaku pada ketika ini.
Pihak kerajaan terdahulu telah mengumumkan pelaksanaan gaji minimum RM1,500 berkuat kuasa 1 Mei 2022 di seluruh negara dengan pengecualian diberikan kepada majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja.
Pelaksanaan kuat kuasa PGM bagi majikan yang menggajikan kurang lima pekerja telah ditangguhkan daripada 1 Januari 2023 kepada 1 Julai 2023.
Kini, pihak kerajaan telah mengambil keputusan untuk menaikkan lagi kadar gaji minimum dalam negara kita kepada RM1,700 pada 2025.
Pihak kerajaan harus memastikan setiap majikan dalam negara kita menghormati dan melaksanakan PGM yang baharu ini.
Oleh itu, pihak majikan perlu memandang serius terhadap pelaksanaan kadar gaji minimum ini dalam negara kita.
Jika tidak, tindakan keras mengikut peruntukan undang -undang sedia ada boleh dikenakan kepada mereka.
Mana-mana pekerja yang merasakan diri mereka teraniaya serta tidak mendapat hak yang sepatutnya selaras dengan pelaksanaan kadar gaji minimum ini perlu dapatkan bantuan daripada mana-mana pihak yang berkaitan dan membuat aduan kepada pihak Jabatan Tenaga Kerja dan Sekretariat Majlis Perundingan Gaji Negara, Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) dengan segera. – UTUSAN
DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)










