Pakej badal haji RM1,500 tidak realistik - Utusan Malaysia

Pakej badal haji RM1,500 tidak realistik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harga terendah pakej haji bagi penduduk tempatan Arab Saudi pada musim 1446H lalu bermula sekitar SR10,000 (RM11,300) yang merangkumi permit kebenaran serta khemah di Masyair.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Mustakim Mohamad berkata, harga tersebut tidak termasuk kos pengangkutan udara atau darat, penginapan, makanan di Mekah dan Madinah serta lain-lain keperluan sepanjang ibadah haji.

Katanya, kos sebenar ini perlu difahami umat Islam di Malaysia supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran pakej badal haji yang terlalu murah, iaitu hanya sekitar RM1,500 seperti diiklankan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Kerajaan Arab Saudi telah menetapkan setiap individu luar negara wajib mendapatkan visa haji, manakala penduduk tempatan pula perlu memiliki permit kebenaran daripada pihak berkuasa. Tidak semua permohonan permit akan diluluskan.

“Dengan kos sebenar yang tinggi ini, mustahil khidmat badal haji boleh ditawarkan pada harga yang sangat rendah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mustakim berkata, penduduk tempatan Arab Saudi hanya dibenarkan menunaikan ibadah haji sekali dalam tempoh lima tahun sebagai salah satu langkah pengawalan.

Beliau berkata, terdapat unsur penipuan dalam kalangan pihak yang mengambil upah badal haji dengan nisbah pelaksana tidak seimbang sehingga seorang pelaksana menunaikan badal haji untuk 200 orang.

“Amalan ini bertentangan dengan syariat Islam dan peraturan yang telah ditetapkan. Kerajaan Arab Saudi juga telah memperketat penguatkuasaan undang-undang terhadap penggunaan visa atau permit palsu yang boleh menyebabkan jemaah dikenakan denda, penjara dan disenarai hitam untuk memasuki negara itu selama beberapa tahun.

“Justeru, kami menyeru rakyat Malaysia supaya bijak menilai dan tidak mudah tertipu dengan tawaran badal haji murah yang tidak realistik. Sentiasa pastikan tawaran perkhidmatan badal haji adalah sah dan boleh dipercayai,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×