Malucelli, Syrista taruhan Astana di PLTdL25

Malucelli, Syrista taruhan Astana di PLTdL25

PEMENANG jersi merah Raja Pecut dan tiga peringkat pada edisi lalu, Matteo Malucelli bakal menghangatkan saingan Petronas Le Tour de Langkawi 2025 (PLTdL25) bermula 28 September hingga 5 Oktober ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pasukan gergasi berbasikal Kazakhstan, XDS Astana Team memberi amaran awal mahu ‘menyapu bersih’ peringkat landai Petronas Le Tour de Langkawi 2025 (PLTdL25) apabila menyenaraikan dua pakar pecut Matteo Malucelli dan Gleb Syritsa.

Malucelli, pemenang jersi merah Raja Pecut dan tiga peringkat pada edisi lalu, bakal bergandingan dengan Syritsa yang memiliki empat kemenangan peringkat dalam sejarah PLTdL.

Dua pelumba ini dijangka menjadi ‘mimpi ngeri’ buat pasukan lawan bermula 28 September hingga 5 Oktober nanti.

Ketua Pegawai Operasi Sekretariat PLTdL25, Emir Abdul Jalal berkata, kehadiran dua ‘roket’ itu tepat dengan profil laluan edisi kali ini yang menawarkan enam peringkat landai serta peluang besar untuk pecutan beramai-ramai.

“Dengan Malucelli dan Syritsa, Astana ada kelebihan jelas. Mungkin ini strategi mereka mengekang cabaran pecutan Alberto Dainese (Tudor Cycling) dan Fabio Jakobsen (Team Picnic PostNL) yang terkenal di pentas Giro d’Italia dan Vuelta a Espana,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan.

Turut mengisi senarai awal Astana ialah jaguh trek New Zealand, Aaron Gate, yang merupakan pemenang empat emas Sukan Komanwel 2022 yang dijangka memburu jersi hijau keseluruhan, selain Anton Kuzmin, Lev Gonov dan Nicolas Vinokurov.

Kuzmin dan Gonov, rakan sepelatih Syritsa dalam acara kejar-mengejar trek, akan menjadi ‘lokomotif’ di barisan hadapan peloton sebelum membuka laluan emas untuk pecutan terakhir. Nicolas pula diberi tugas memburu peluang daripada cubaan pemecahan.

PLTdL25 yang berstatus ProSeries UCI merentasi semua 12 negeri Semenanjung sejauh 1,257.8km membabitkan lapan peringkat dengan penyertaan tiga pasukan WorldTeam, lapan ProTeam, 10 pasukan Benua dan skuad kebangsaan Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×