LONDON: Crystal Palace wajar berterima kasih kepada penjaga golnya, Dean Henderson yang menyelamatkan dua sepakan penalti untuk memenangi Perisai Komuniti di Stadium Wembley.
Palace menang 3-2 ke atas Liverpool dalam penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat terikat 2-2 dalam masa sebenar perlawanan yang cukup menghiburkan.
Sebelum ini, Henderson turut menampilkan aksi cemerlang menyelamat penalti ketika kemenangan final Piala FA ke atas Manchester City, musim lalu di stadium yang sama.
Pemain gantian, Justin Devenny menjaringkan gol kemenangan selepas Mohamed Salah gagal menyempurnakan penalti pertama Liverpool dan Henderson menepis sepakan Alexis Mac Allister dan Harvey Elliott.
“Mereka mendahului 2-1, anda mungkin fikir kami sudah tersingkir daripada perlawanan. Pengurus berkata kami akan mendapat peluang pada separuh masa kedua dan akhirnya kami layak menang,” kata Henderson.
Pemain baharu, Hugo Ekitike, meletakkan Liverpool di depan pada minit keempat selepas beliau dan pemain termahal kelab, Florian Wirtz melakukan gerakan cantik sebelum penyerang Perancis itu menyudahkan dengan tenang.
Namun, Palace menyamakan kedudukan pada minit ke-17 apabila Jean-Philippe Mateta memperdayakan Alisson menerusi sepakan penalti selepas Virgil van Dijk menjatuhkan Ismaila Sarr.
Pemain baharu musim panas, Jeremie Frimpong, mengembalikan kelebihan Liverpool ketika penyokong The Reds memberi penghormatan kepada mendiang penyerang Portugal, Diogo Jota, pada minit ke-20.
Pengendali Palace, Oliver Glasner berkata, pasukannya memerlukan tambahan pemain untuk kekal bersaing dan bimbang apabila pemain tengah, Daichi Kamada, terpaksa dikeluarkan kerana cedera dalam tempoh setengah jam pertama.
Penyerang Palace dan England, Eberechi Eze menguji Alisson dengan rembatan rendah sebelum pasukan London itu menyamakan kedudukan pada minit ke-77 apabila Sarr menewaskan Alisson yang cuba keluar dari gawang.
Palace hampir menjaringkan gol kemenangan di penghujung permainan dengan Mac Allister mungkin bernasib baik apabila semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) untuk insiden bola terkena tangan dalam kotak penalti memihak kepadanya.
Glasner mengakui Devenny yang juga pemain tengah Ireland Utara menawarkan diri untuk mengambil sepakan penalti terakhir.
“Justin datang kepada saya dan berkata ‘Saya akan ambil, saya akan ambil yang terakhir’,” kata pengurus Palace itu sambil memuji keyakinan pemain berusia 21 tahun itu.
Dalam masa yang sama, Glasner mengakui gembira dengan skuad walaupun Palace dijangka mengetahui nasib mereka pada Isnin sama ada akan beraksi dalam Liga Europa atau Liga Konferens dan situasi itu akan meningkatkan beban tugas pemain. – AGENSI/UTUSAN








