BRASILIA: Seekor lembu baka Girolando di Brazil mencipta rekod kebangsaan baharu apabila menghasilkan 343 liter susu dalam tempoh tiga hari sempena kejohanan tenusu di Delfim Moreira, selatan Minas Gerais, baru-baru ini.
Baka Girolando merupakan hasil kacukan antara lembu Holstein dan Gir, terkenal dengan pengeluaran susu yang tinggi.
Secara purata, seekor Girolando mampu menghasilkan 3,600 liter susu dalam tempoh 305 hari penyusuan, namun ada yang mampu melebihi 100 liter sehari.
Menurut laporan media tempatan, identiti pemilik dan lembu tersebut tidak didedahkan namun, rekod kejohanan itu mencatatkan pengeluaran harian tertinggi sebanyak 120 liter, hampir menyamai rekod dunia bagi pengeluaran susu sehari.
Rekod dunia semasa dipegang oleh seekor lagi lembu Girolando bernama Marília FIV Teatro de Naylo, yang menghasilkan 127.6 liter susu pada 3 Ogos 2019.
Baka Girolando juga diiktiraf sebagai antara baka lembu paling produktif di dunia.
Penternak di Brazil membuat persediaan rapi selama berbulan-bulan sebelum kejohanan, termasuk menyediakan diet khas bagi meningkatkan pengeluaran susu.
Beberapa tahun lalu, penggunaan steroid dan bahan larangan lain pernah berlaku, namun peraturan baharu mengenakan ujian pengesanan bahan terlarang serta mewajibkan haiwan dibawa masuk sekurang-kurangnya 48 jam sebelum sesi pemerahan pertama.
Tempoh antara tiga sesi pemerahan harian turut ditetapkan setiap lapan jam.
Brazil turut memegang rekod dunia bagi lembu paling mahal, apabila seekor lembu baka Nelore dinilai pada harga AS$4.3 juta (RM18.2 juta). – AGENSI











