LONDON: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran krisis kebuluran dan penyakit berjangkit semakin merebak di Sudan yang dilanda perang berlarutan.
Pegawai Kanan Kecemasan WHO, Ilham Nour berkata, krisis kebuluran dilaporkan sudah berlaku di beberapa kawasan, dengan 25 juta penduduk mengalami kekurangan makanan serta hampir 100,000 kes taun direkodkan sejak Julai tahun lalu.
“Keganasan berterusan mendorong sistem kesihatan Sudan ke ambang kehancuran, menambah krisis yang sudah dibebani dengan isu kelaparan, penyakit dan penderitaan,” katanya.
Konflik antara tentera Sudan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) mengakibatkan jutaan orang kehilangan tempat tinggal serta memecah-belahkan negara itu kepada zon kawalan yang berbeza.
RSF masih menguasai sebahagian besar Sudan Barat, manakala kekurangan dana menjejaskan operasi bantuan kemanusiaan.
Nour menjangkakan kira-kira 770,000 kanak-kanak bawah lima tahun akan mengalami kekurangan zat makanan akut teruk tahun ini.
WHO memaklumkan, kem pelarian Darfur di Chad Timur turut dilanda wabak taun, dengan Pertubuhan Pelarian Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) melaporkan 264 kes dan 12 kematian di penempatan pelarian Dougie.
Taun adalah jangkitan usus yang merebak melalui makanan dan air tercemar, lazimnya daripada najis sehingga menyebabkan gejala serius seperti cirit-birit, muntah dan kekejangan otot.
Tanpa rawatan segera, taun boleh meragut nyawa dalam tempoh beberapa jam.
Dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, pusat pemakanan yang disokong WHO merawat lebih 17,000 kanak-kanak yang mengalami kekurangan zat makanan dengan komplikasi perubatan, namun ramai tidak diselamatkan kerana di luar akses bantuan.
WHO kini hanya menerima kurang daripada satu pertiga dana yang dimohon untuk menyediakan bantuan kesihatan segera di Sudan.- AGENSI










