PETALING JAYA: Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) mahu Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) turut memikirkan peluang pekerjaan untuk orang muda jika mahu menaikkan umur persaraan wajib kepada 65 tahun.
Presiden MEF, Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman berkata, Malaysia masih mempunyai ramai tenaga muda untuk mengisi pelbagai sektor pekerjaan yang ada di dalam negara.
Justeru, katanya, cadangan menaikkan umur persaraan kepada 65 tahun perlu dikaji secara menyeluruh dengan mengambil kira pelbagai faktor semasa, termasuk kesannya kepada peluang pekerjaan untuk golongan muda.
“Kita perlulah memikirkan peluang pekerjaan kepada golongan muda dan tidak semua sektor sesuai melanjutkan umur persaraan memandangkan jenis kerja tertentu memerlukan tenaga fizikal tinggi dan produktiviti optimum.
“Pelanjutan umur persaraan wajib itu tidak semestinya membawa manfaat jika menyebabkan kadar pengangguran meningkat dalam kalangan lepasan graduan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, JPA akan melaksanakan kajian berkaitan cadangan menaikkan had umur persaraan wajib bagi penjawat awam kepada 65 tahun.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, cadangan berkenaan perlu diteliti secara mendalam sebelum sebarang keputusan dibuat.
Syed Hussain berkata, kerajaan perlu mempertimbang nisbah pencen dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi golongan pekerja awam serta sektor swasta.
Katanya, perubahan umur persaraan perlu datang bersama insentif jangka panjang serta jaminan sosioekonomi kepada pekerja yang telah bersara atau hampir bersara.
“Jika tiada imbuhan setimpal atau sistem sokongan bersara mencukupi, ramai akan terus bekerja semata-mata kerana tekanan hidup.
“Jika mereka sihat dan masih mahu bekerja, boleh diberi peluang secara kontrak seperti diamalkan sekarang,” katanya.
Tambah Syed Hussain, negara seperti Jepun dan Singapura terpaksa melanjutkan umur persaraan kerana populasi mereka semakin tua, sedangkan Malaysia masih punyai ramai tenaga muda.
MEF katanya, turut menyokong pendekatan bersasar iaitu menawarkan peluang kerja sesuai kepada warga emas, terutama dalam sektor tidak memerlukan tenaga fizikal tinggi.
Kata Syed Hussain, sektor seperti pendidikan, latihan, khidmat nasihat dan kerja pentadbiran sesuai untuk golongan berpengalaman dan masih berdaya saing.
Namun, sektor seperti pembinaan, kilang, ladang kurang sesuai kerana risiko kesihatan dan kemampuan fizikal terhad. – UTUSAN










