Struktur baharu KWSP elak risiko miskin usia tua

Struktur baharu KWSP elak risiko miskin usia tua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengasingan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada dua komponen iaitu simpanan persaraan dan pencen persaraan adalah langkah positif bagi mengelakkan risiko kemiskinan usia tua.

Pengarah Program Pengajian Ekonomi, Institut Asia Tenggara Jeffrey Cheah, Universiti Sunway, Prof. Dr. Yeah Kim Leng berkata, sebahagian besar rakyat terdedah kepada risiko berkenaan apabila warga emas hidup tanpa sebarang jaminan pendapatan.

Situasi itu, katanya, berlaku apabila majoriti pesara menghabiskan keseluruhan simpanan secara sekali gus dalam tempoh hanya beberapa tahun selepas pengeluaran wajib dibenarkan.

“Kita perlu melihat cadangan ini dalam konteks pembaharuan sistem pencen yang sedang berjalan bagi memastikan apabila populasi semakin tua, terdapat simpanan persaraan yang mencukupi, terutamanya kerana jangka hayat rakyat kini semakin panjang.

“Cadangan ini menyerupai skim anuiti yang pernah dilaksanakan oleh KWSP, apabila pembayaran dibuat secara bulanan. Skim ini mempunyai matlamat yang sama.

“Cadangan ini perlu diberi pertimbangan serius oleh rakyat agar mereka lebih berdisiplin ketika berbelanja kerana jangka hayat yang lebih panjang memerlukan perbelanjaan lebih berhati-hati,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Berdasarkan dokumen Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang dikeluarkan Kementerian Ekonomi Khamis lalu, kerajaan bercadang melakukan pengasingan caruman KWSP kepada dua komponen iaitu simpanan persaraan dan pencen persaraan.

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, simpanan ahli KWSP akan dibahagikan kepada dua kategori utama iaitu Simpanan Fleksibel yang boleh dikeluarkan pada bila-bila masa mengikut keperluan pencarum manakala Simpanan Pendapatan akan dibayar secara berkala sehingga habis.

Jelasnya, cadangan itu hanya terpakai kepada ahli baharu selepas tarikh pelaksanaan. Bagi ahli semasa, peralihan kepada struktur baharu itu adalah secara sukarela.

Kim Leng berkata, skim baharu yang akan diperkenalkan kepada kumpulan pencarum baharu perlu dilaksanakan segera bagi mengelakkan kerajaan menanggung beban lain pada masa hadapan.

“Apa yang membimbangkan adalah majoriti mereka yang tidak mempunyai pendapatan mencukupi ini akan terdedah kepada ancaman kebajikan hidup, terutamanya apabila mereka tidak lagi boleh bergantung kepada anak-anak untuk menyara hidup.

“Akhirnya, kerajaan akan menanggung beban untuk menjaga golongan ini. Saya lihat ini adalah cadangan yang positif dan masa paling bersesuaian untuk dilaksanakan selari permulaan RMK13,” katanya.

Cadangan itu juga, katanya, bagi mengelakkan banyak kes penipuan scammer yang menyasarkan golongan pesara yang mempunyai simpanan persaraan yang besar.

“Ini juga merupakan alasan lain mengapa sebahagian daripada simpanan persaraan perlu dibayar secara berkala bagi melindungi warga emas daripada kehilangan sumber kewangan dan simpanan,” katanya. UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN