Semak levi pekerja asing

Semak levi pekerja asing

SYED HUSSAIN SYED HUSMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa menyemak dan menilai semula pelaksanaan levi pekerja asing bagi memastikan ia lebih adil, selaras dengan realiti semasa pasaran buruh negara.

Pengerusi Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman berkata, struktur levi yang tidak seimbang berpotensi meningkatkan tekanan kos kepada majikan sekaligus menjejaskan kelestarian operasi dan daya saing perniagaan.

Katanya, MEF berharap pe­laksanaan levi dipermudahkan dengan peraturan konsisten, bagi menyokong kesinambungan ekonomi serta pertumbuhan perniagaan dalam jangka masa panjang.

“Kami juga menyeru kerajaan memperkenalkan rangka kerja dasar tenaga kerja asing yang lebih telus dan cekap bagi memastikan kelangsungan serta daya saing sektor perniagaan negara. Ia penting bagi mengelakkan tekanan kos berlebihan yang boleh menjejaskan kelestarian perniagaan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau mengulas pelantikan barisan Kabinet baharu seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kelmarin dan harapan terhadap menteri baharu Kementerian Sumber Manusia.

Dalam rombakan kabinet semalam, Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk Seri R. Ramanan yang sebelum ini memegang jawatan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi dilantik sebagai Menteri Sumber Manusia yang baharu.

Sementara itu, Syed Hussain berkata, dasar kenaikan gaji di negara ini perlu berasaskan bukti dengan mengambil kira tahap produktiviti.

“Ia perlu mengambil kira keadaan ekonomi semasa, keupayaan kewangan perniagaan serta berdasarkan sektor,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN