KUALA LUMPUR: Pengeluaran simpanan persaraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) disarankan supaya dibuat secara bulanan berbanding secara pukal bagi memastikan simpanan berkenaan dapat bertahan lebih lama untuk menampung kehidupan selepas bersara.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kaedah pengeluaran secara berperingkat atau bulanan membolehkan baki dana yang masih tersimpan dalam akaun terus menjana pulangan menerusi gandaan dividen.
“KWSP bukan sahaja berperanan mengumpul simpanan, tetapi juga sentiasa mengingatkan ahli bahawa mereka mempunyai pilihan lain selain pengeluaran penuh secara sekali gus.
“Pengeluaran secara bulanan membolehkan baki dana bekerja lebih keras untuk pencarum menerusi gandaan dividen, sekali gus membolehkan simpanan pesara dibesarkan dan bertahan lebih lama untuk menikmati kualiti hidup yang lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa 2026 (ISWC2026) di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata, kerajaan menyokong penuh pelbagai inovasi dan daya usaha KWSP, termasuk pengenalan alatan simulasi interaktif baharu pada aplikasi myEPF bagi membolehkan ahli merancang aliran tunai persaraan mereka secara lebih realistik.
“Menerusi aplikasi tersebut, ahli kini boleh membuat simulasi dan menentukan jumlah pengeluaran bulanan yang dikehendaki apabila bersara kelak. Ini memberi gambaran jelas di tangan mereka untuk mengambil tindakan awal bagi menambah baik tabungan masing-masing,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, tahap kesedaran rakyat Malaysia dalam membina tabungan persaraan menunjukkan trend peningkatan yang positif hasil usaha pemerkasaan literasi kewangan secara berterusan.
Katanya, peratusan ahli aktif sektor formal yang mencapai penanda aras Simpanan Asas kini meningkat kepada kira-kira 40 peratus, berbanding hanya 32 peratus tempoh enam tahun lalu.
“Peningkatan ini didorong oleh kempen pendidikan kewangan serta pelbagai insentif padanan daripada kerajaan menerusi program seperti i-Saraan, i-Saraan Plus dan i-Suri yang mendoronge pencarum mengambil peranan aktif dalam membina tabungan hari tua.
“Selain itu, KWSP turut memperkenalkan Kerangka Kecukupan Pendapatan Persaraan (RIA) yang menetapkan beberapa paras sasaran simpanan mengikut gaya hidup pilihan ahli, di samping dilengkapi mekanisme pelarasan automatik bagi menangani tekanan inflasi serta kos sara hidup harian,” ujarnya.











