Ibu Zara Qairina selesai serah telefon bimbit

Ibu Zara Qairina selesai serah telefon bimbit

HAMID Ismail (kiri) mengiringi kereta yang dinaiki Noraidah Lamat selepas penyerahan telefon bimbit di Balai Polis Karamunsing, Sabah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Telefon bimbit milik ibu Zara Qairina Mahathir, Noraidah Lamat telah diserahkan kepada polis di Balai Polis Karamunsing bersama peguamnya dan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kira-kira pukul 4 petang tadi.

Peguam Hamid Ismail berkata, peranti yang mengandungi pelbagai rakaman audio dan komunikasi berkaitan kes kematian pelajar itu akan dihantar ke Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Cheras, Selangor untuk dianalisis.

Katanya, ia sepatutnya diserahkan semalam tetapi Noraidah ketika itu sedang memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sipitang.

“Telefon bimbit diserahkan sendiri oleh Noraidah kepada pihak polis dan proses penyerahan berlangsung sehingga sekitar pukul 4.35 petang.

“Pihak polis akan menghantar semua item yang diserahkan ini kepada Makmal Forensik PDRM Cheras,” katanya ketika ditemui selepas penyerahan.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, laporan siasatan awal kematian Zara Qairina, 13, te­lah di­serahkan semula kepada pihak polis untuk dilengkapkan.

Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar berkata, sebarang keputusan sama ada untuk mendakwa sesiapa atau mengarahkan agar inkues dilakukan akan diputuskan selepas siasatan benar-benar telah dilengkapkan.

Ketika ditanya status permohonan penggalian semula kubur serta prosedur bedah siasat, wakil keluarga berkata, tiada perkembangan susulan setakat ini.

“Memang tidak ada bedah siasat dari awal. Bukan sebab tandatangan tidak diberi oleh ibu Zara. Ia bukan isu tandatangan, sebaliknya memang tidak dilakukan langsung,” katanya.

Dalam pada itu, Hamid memohon orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi dan komen-komen tidak bermanfaat di platform media sosial.

“Ibu Zara sekarang memerlukan sokongan dan doa anda semua. Dia dalam keadaan yang tertekan, jadi tolong memahami.

“Saya harap netizen boleh memberi kata-kata yang baik, dia baru kehilangan anak berumur 13 tahun,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×