Orang dewasa di China ikut 'trend aneh' untuk redakan tekanan - Utusan Malaysia

Orang dewasa di China ikut ‘trend aneh’ untuk redakan tekanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: Dalam satu trend aneh yang kini melanda China, ribuan individu dewasa dilaporkan mula menggunakan puting plastik seperti bayi sebagai kaedah untuk meredakan tekanan, keresahan dan gangguan tidur.

Fenomena ini yang dikenali sebagai ‘puting dewasa’ menjadi kegilaan terbaharu dalam kalangan masyarakat muda di negara itu, khususnya golongan yang berdepan tekanan kerja, beban kewangan seperti bayaran ansuran rumah dan kereta, serta masalah hubungan sosial yang kompleks.

Mereka sanggup membelanjakan antara 10 hingga 500 yuan (RM6 hingga RM325) bagi membeli alat tersebut yang dijual secara meluas di platform e-dagang sebagai produk melegakan stres dan membantu tidur lena.

Tinjauan di laman-laman jualan atas talian menunjukkan ribuan unit dijual setiap bulan, malah ulasan pelanggan turut menggambarkan pengalaman positif di mana ada yang mendakwa mereka berasa lebih tenang ketika menggigit puting semasa bekerja, mudah lena tidur, dan berasa setenang bayi kecil.

Menurut pakar psikologi tempatan, gelagat ini dijelaskan menerusi teori psikologi yang dikenali sebagai fenomena regresi, iaitu kecenderungan individu untuk kembali kepada tingkah laku zaman kanak-kanak apabila berdepan tekanan melampau.

“Puting melambangkan keselamatan dan ketenangan yang dirasai semasa bayi. Apabila tekanan terlalu tinggi, sesetengah orang cenderung kembali kepada bentuk perlindungan yang paling asas,” jelas pakar.

Bagaimanapun, pakar kesihatan memberi amaran penggunaan puting secara berpanjangan boleh mendatangkan kesan buruk kepada kesihatan, khususnya struktur mulut orang dewasa.

“Struktur mulut orang dewasa tidak sama seperti bayi. Penggunaan puting untuk jangka masa panjang boleh menyebabkan gangguan sendi temporomandibular (TMJ), termasuk kesakitan sendi rahang, bunyi ‘klik’ dan kesukaran membuka mulut.” ujar Dr. Tang Caomin dari Kolej Stomatologi Huaxi, Universiti Sichuan.

Beliau turut menambah bahan dan reka bentuk puting dewasa mungkin tidak sesuai dengan persekitaran mulut orang dewasa dan boleh mencederakan tisu mukosa, menyebabkan ulser dan iritasi.

Sebelum ini, pelbagai kaedah pelik untuk mengurangkan tekanan telah dilaporkan termasuk memeluk lembu dan menumbuk jurulatih stres namun, trend menggunakan puting di usia dewasa nyata antara yang paling luar biasa setakat ini. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×