MACHANG: Seorang lelaki berusia 39 tahun yang disyaki membunuh bapanya menggunakan kerusi kayu di rumah di Kampung Kuala Gris, Kuala Krai semalam direman seminggu bermula hari ini.
Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Amal Razim Alias di Mahkamah Majistret Machang di sini, hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Terdahulu, suspek yang memakai baju lokap berwarna ungu tiba di pekarangan mahkamah kira-kira pukul 9.15 pagi diiringi anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah Kuala Krai.
Media melaporkan, suspek yang dipercayai memukul bapanya hingga mati menggunakan kerusi dalam kejadian di Kampung Kuala Gris positif dadah jenis methamphetamine.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Mazlan Mamat berkata, lelaki yang berusia 39, turut mempunyai tujuh rekod jenayah lampau.
Sebelum itu, seorang warga emas maut selepas dipercayai dipukul dengan kerusi kayu oleh anaknya semasa sedang menunaikan solat subuh dalam kejadian di Kampung Kuala Gris, di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 6.30 pagi itu, mangsa, Othman Jusoh, 74, meninggal dunia di rumah tersebut akibat kecederaan parah pada bahagian kepala. – UTUSAN









