KUALA LUMPUR: Kerajaan membelanjakan sebanyak RM10.92 juta bagi penganjuran Majlis Sambutan Aidilfitri Madani di tujuh negeri tahun ini dengan purata perbelanjaan RM1.56 juta bagi setiap lokasi.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, jumlah itu sedikit meningkat berbanding RM10.05 juta yang dibelanjakan untuk sambutan Aidilfitri tahun lalu di jumlah negeri yang sama dengan purata perbelanjaan RM1.43 juta setiap negeri.
“Majlis ini bukan sekadar sambutan perayaan semata-mata, malah menjadi wadah penting dalam memupuk perpaduan nasional.
“Majlis ini juga menyemai semangat keharmonian, serta menggalakkan interaksi dan persefahaman dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman rasmi Parlimen hari ini.
Beliau menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN–Kuala Krai) yang meminta pecahan kos penganjuran program Rumah Terbuka Aidilfitri Madani 2024 dan 2025 termasuk aspek logistik, jamuan, promosi dan penglibatan pihak swasta atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Fadillah berkata, jika dibandingkan dengan penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri pada 2022, majlis ketika itu hanya terhad kepada kawasan Lembah Klang dan melibatkan kos lebih tinggi iaitu RM11 juta.
“Sebaliknya, mulai tahun 2023, penganjuran Majlis Sambutan Aidilfitri Madani dilaksanakan secara lebih menyeluruh merangkumi pelbagai lokasi di seluruh negara,” katanya. – UTUSAN










