PETALING JAYA: Semua pihak diminta berlapang dada malah tidak memperbesarkan keputusan jaguh pecut 100 meter (m) negara, Muhammad Azeem Fahmi jika dia memilih untuk tidak bertanding di Sukan SEA 2025 Thailand.
Itu pandangan bekas raja pecut Asia Tenggara, Nazmizan Mohamad apabila berkata, Azeem perlu mengutamakan program latihannya di Amerika Syarikat (AS) memandangkan dia merupakan penerima biasiswa Universiti Auburn dan fokus utamanya adalah di kejohanan Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan (NCAA).
“Kita kena faham dia dapat biasiswa daripada Universiti Auburn dan bukannya dibayar sepenuhnya oleh Malaysia untuk ke sana. Jadi, mungkin dia sudah termaktub dengan perjanjian yang mana fokus mereka di sana adalah NCAA.
“Saya juga difahamkan selepas berbual dengan bapanya, memang tiada dalam perancangan jurulatih Azeem untuk Sukan SEA 2025,” kata Nazmizan yang pernah berlatih selama tiga bulan di AS pada 2004.
Nazmizan turut berkata, walaupun Azeem tidak mempunyai kejohanan sepanjang temasya dwitahunan itu berlangsung namun dia perlu melakukan latihan secara berfasa bersama kuartet Universiti Auburn yang dipantau jurulatih, Ken Harnden.
“Setiap atlet pecut, mereka akan menjalani latihan berperingkat dan latihan kecergasan atlet direka untuk meningkatkan keupayaan fizikal atlet pada tahap optimum. Itu bermakna pada Oktober hingga Disember ini, itulah tempoh Azeem untuk melakukannya.
“Kemudian, Januari 2026, Azeem akan menyertai pra kejohanan iaitu larian 60m sebelum sertai larian 100m. Semuanya sudah diatur dan jika menyertai Sukan SEA 2025 maka jurulatihnya terpaksa merombak latihan untuk Azeem dan itu akan menyukarkannya,” katanya.
Azeem mendapat tajaan daripada Universiti Auburn selepas menduduki tempat kelima dalam 100m di Kejohanan Olahraga Dunia bawah 20 (B-20), Cali, Colombia pada 2022 masih belum memberi kata putus terhadap penampilannya di Sukan SEA 2025. – UTUSAN










