Penjawat awam patriotik tunjang kestabilan, kemajuan negara

Penjawat awam patriotik tunjang kestabilan, kemajuan negara

PENJAWAT awam bertanggungjawab menyumbang ke arah pembangunan negara dengan semangat jitu dan cinta yang mendalam terhadap tanah air.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENJAWAT awam ibarat tunjang dan akar kepada sepohon pokok. Kukuhnya mereka memastikan negara terus teguh dan subur, walau diuji badai.

Penjawat awam juga bukan hanya sekadar bertanggungjawab melaksanakan dasar-dasar kerajaan, namun menjadi penghubung antara rakyat dengan institusi kerajaan selain perlu memiliki nilai-nilai murni dan jati diri yang kukuh, rasa cinta serta sayang kepada tanah air merangkumi kesetiaan, keikhlasan juga kesanggupan berkorban demi kepentingan negara.

Nilai ini perlu diterjemahkan melalui komitmen tinggi terhadap tugas, integriti yang utuh, serta keikhlasan dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat tanpa mengira latar belakang, bangsa mahupun agama.

Golongan ini yang memiliki jiwa patriotik akan sentiasa meletakkan kepentingan negara dan rakyat di hadapan, menjadikan tugas mereka sebagai amanah yang perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab.

Semangat patriotisme yang kukuh menjadi benteng utama dalam menghadapi pelbagai cabaran semasa seperti rasuah, salah guna kuasa dan ketirisan dalam pengurusan sumber awam.

Sebagai contoh, penjawat awam yang patriotik tidak akan mudah tergoda dengan tawaran suapan atau istilah duit kopi kerana mereka menyedari tindakan sebegitu adalah pengkhianatan terhadap negara dan rakyat.

Mereka juga akan berusaha memperbaiki sistem penyampaian perkhidmatan, meningkatkan ketelusan dalam urus tadbir dan memastikan setiap dasar kerajaan dilaksanakan dengan efisien serta adil.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa ucapan di Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) menyatakan “Masih ada kecuaian, masih ada ketirisan dan laporan-laporan rasuah dalam kalangan penguat kuasa”.

Dalam era globalisasi dan pendigitalan yang mencabar ini, penjawat awam perlu lebih bersedia untuk menyesuaikan diri dengan perkembangan semasa seperti perubahan teknologi, tuntutan rakyat yang semakin tinggi serta keperluan kepada tadbir urus lebih dinamik dan inklusif. Semua ini memerlukan semangat dan iltizam tinggi.

Patriotisme akan menjadi pemangkin kepada semangat tersebut kerana penjawat awam yang benar-benar cinta negaranya tidak akan membiarkan ia ketinggalan dalam arus kemajuan. Mereka akan sentiasa mencari jalan untuk menambah baik sistem sedia ada dan berusaha gigih untuk memajukan negara dalam apa jua keadaan.

PENDEKATAN

Pelbagai pendekatan boleh diambil untuk memastikan semangat patriotisme terus subur. Antaranya, latihan dan kursus berkaitan kenegaraan perlu dijadikan modul wajib di semua peringkat perkhidmatan awam.

Kursus-kursus ini bukan sahaja boleh meningkatkan kefahaman tentang sejarah, Perlembagaan, serta struktur pentadbiran negara tetapi juga dapat memupuk rasa bangga menjadi sebahagian daripada sistem yang menyumbang kepada pembangunan negara.

Menurut Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof. Datuk Dr. Zaliman Sauli, menetapkan semua pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional (Pentadbiran) untuk mengikuti Program Kenegaraan Malaysia Madani dapat memperkukuhkan kefahaman serta penghayatan nilai-nilai kenegaraan.

Kedua, penghayatan prinsip Rukun Negara dan slogan Malaysia Madani perlu diperkukuhkan agar penjawat awam sentiasa sedar matlamat besar yang ingin dicapai negara.

Rukun Negara, yang digubal selepas tercetusnya peristiwa 13 Mei 1969, merupakan prinsip asas perpaduan yang masih kekal relevan sehingga ke hari ini. Setiap penjawat awam wajib mendokong lima prinsip Rukun Negara sebagai panduan moral dan etika kerja, khususnya dalam memastikan perkhidmatan yang disampaikan bersifat adil, inklusif dan berintegriti.

Melalui gabungan nilai dalam Rukun Negara dan semangat Malaysia Madani, penjawat awam akan menjadi pemacu pembangunan negara, bukan sahaja moden dan maju, tetapi juga berteraskan nilai moral serta jati diri kebangsaan yang kukuh. Selain itu, mereka juga peka dan sensitif dengan tidak membuat apa jua kenyataan menyentuh isu 3R (agama, raja dan kaum) demi memastikan semangat serta roh patriotisme sentiasa tersemat di setiap sanubari penjawat awam.

Ketiga, kepimpinan dalam sektor awam juga memainkan peranan penting dalam menyemai semangat patriotisme. Pemimpin yang menunjukkan contoh yang baik dari segi integriti, ketelusan dan kesungguhan dalam bekerja akan menjadi inspirasi kepada penjawat awam lain. Nilai patriotik perlu diterjemah melalui tindakan harian seperti menepati masa, memberi layanan mesra kepada rakyat dan berusaha menyelesaikan masalah dengan cara terbaik.

Sikap profesional, bertanggungjawab dan berorientasikan hasil adalah antara ciri-ciri penjawat awam patriotik yang perlu sentiasa dipupuk. Pemimpin yang berjaya menanamkan semangat patriotik melahirkan pasukan yang padu, setia dan bersedia berkhidmat demi kemajuan negara.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, integriti bukanlah konsep yang hanya indah pada bicara, tetapi merupakan asas kepada kehidupan mulia, penuh dengan kejujuran, amanah, keadilan serta menzahirkan agar para mahasiswa menjadi insan berprinsip dan berpegangan teguh. Baginda turut berharap agar program seumpama ini memberikan pendedahan sewajarnya untuk peserta menjadi pemimpin masa hadapan yang disegani, dihormati dan sentiasa berpegang kepada kebenaran.

 

PENGHARGAAN

Keempat, di sebalik peranan besar dimainkan penjawat awam dalam membangunkan negara, aspek penghargaan terhadap jasa mereka tidak boleh dipandang enteng. Penjawat awam yang menunjukkan prestasi cemerlang, berintegriti dan berdedikasi dalam melaksanakan tanggungjawab wajar diberikan pengiktirafan dan ganjaran setimpal.

Penghargaan ini bukan sahaja dalam bentuk kenaikan pangkat atau insentif kewangan tetapi juga sokongan moral, peluang peningkatan kerjaya dan suasana kerja kondusif.

Penghargaan ini perlu dijadikan agenda utama untuk memastikan mereka terus berkhidmat dengan semangat dan dedikasi.

UniMAP saban tahun melaksanakan Anugerah Seri Gemilang yang akan memberi pengiktirafan dan penghargaan buat kakitangan yang cemerlang dalam bidang akademik, penyelidikan dan pentadbiran. Selain itu, kakitangan yang berkhidmat lebih daripada 20 tahun juga diberikan Anugerah Perkhidmatan Lama bagi menyanjung tinggi khidmat bakti yang dicurahkan kepada universiti.

Sebagai rakyat Malaysia, sama ada penjawat awam atau tidak perlu turut bertanggungjawab menyumbang ke arah pembangunan negara dengan semangat jitu dan cinta yang mendalam terhadap tanah air.

Hanya dengan semangat ini, Malaysia dapat terus melangkah ke hadapan sebagai negara yang maju, berdaya saing, bersatu dan dihormati di persada dunia.

Sesungguhnya, penjawat awam yang patriotik ialah mereka yang bekerja bukan sekadar untuk hari ini, tetapi demi masa hadapan negara dan generasi akan datang.-UTUSAN

MEJAR Muhamad Azuan Mohamad Nasir ialah Pengarah Pusat Komunikasi Korporat, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×