PETALING JAYA: Jabatan Peguam Negara (AGC) sedang meneliti dengan mendalam laporan penuh siasatan awal kes kematian pelajar sekolah agama, Zara Qairina Mahathir, 13, di Papar, Sabah, pada 16 Julai lalu.
Mengesahkan sudah menerima laporan penuh siasatan awal Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kes tersebut, jabatan itu berkata, proses penelitian merangkumi semua aspek undang-undang dan fakta yang dikemukakan.
“Ia bagi memastikan setiap keputusan yang diambil adalah berlandaskan undang-undang serta memenuhi prinsip keadilan.
“Sebarang keputusan berkaitan kes ini akan dimaklumkan setelah proses penelitian laporan penuh siasatan awal tersebut selesai dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut AGC, laporan penuh siasatan awal berhubung kematian Zara Qairina masing-masing diterima daripada PDRM di pejabat Cawangan Sabah semalam dan Ibu Pejabat Putrajaya hari ini.
“Jabatan ini menghargai kerjasama semua pihak dan menggesa orang awam untuk mengelakkan daripada membuat sebarang penyataan bersifat spekulatif yang boleh menjejaskan proses siasatan dan keadilan,” katanya.
Zara Qairina, pelajar Tingkatan Satu di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan di Papar, dipercayai terjatuh dari tingkat tiga dan ditemui tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya pada jam 4 pagi, 16 Julai lalu.
Mangsa disahkan meninggal dunia selepas menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I di Kota Kinabalu.
Pada 31 Julai lalu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun memaklumkan pihak polis tidak menolak kemungkinan unsur buli terbabit dalam kejadian berkenaan.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail hari ini mengesahkan kertas siasatan kematian pelajar sekolah agama, Zara Qairina Mahathir, 13, di Papar, Sabah, pada 16 Julai lalu sudah diserahkan kepada AGC hari ini.-UTUSAN










